Array


 Nasional   

PAS seteru utama Umno dari dulu hingga kini, Tuan Ibrahim ingatkan Tun Mahathir

pada 12-09-2017 01:09 
Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

SHAH ALAM: Selepas dituduh sebagai memudahkan kemenangan Barisan Nasional (BN) oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, PAS hari ini tampil menjawab tuduhan yang dilemparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu. 
 
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan Dr Mahathir bahawa parti itu sejak berdekad lamanya merupakan penentang utama kepada Umno-BN termasuk ketika zaman pemerintahan mantan perdana menteri itu.
 
"Hari ini, Tun menuduh PAS kononnya menyokong Umno kerana kecewa apabila PAS tidak mahu bersama dalam Pakatan Harapan. Kerana itu PAS dituduh, difitnah dan diserang.
 
"Biasa PAS diserang oleh Umno, nampaknya kini bertambah satu lagi kumpulan yang bersama Umno menyerang PAS. Namun, PAS tidak gentar. Serangan-serangan ini menunjukkan betapa paniknya Tun dan PH pada kebangkitan kepada sokongan PAS ketika ini.
 
"PAS akan terus melawan Umno pada PRU14 seperti pilihan raya-pilihan raya yang lalu. Suka hatilah siapa yang ingin masuk gelanggang di kerusi-kerusi tradisi PAS untuk menjadikan ia peperangan tiga penjuru, itu hak demokrasi masing-masing," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di organ rasmi PAS, Harakahdaily. 
 
Semalam, Dr Mahathir dalam catatan di blog beliau menyifatkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sebagai memudahkan kemenangan Umno-BN apabila enggan mengelak daripada saingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.
 
Ujarnya, semasa PAS dijemput untuk bekerjasama dengan PH, parti itu meletakkan syarat yang hanya akan mengurangkan undi kepada gabungan pembangkang itu.
 
Dakwanya, PAS lebih memikirkan permusuhan mereka dengan Amanah dan DAP berbanding matlamat menjatuhkan kerajaan Umno-BN walaupun perkara itu hanya akan merugikan mereka.
 
"Bagi PAS, menurunkan Najib sahaja tidak cukup. Selama ini, kami menentang agar rakyat bangkit menukarkan Umno-BN dan menggantikannya dengan parti yang akan menukar sistem yang korup dan rasuah dengan dasar Islam yang diturunkan Allah untuk keselamatan negara dan rakyat yang berbilang kaum ini," kata Tuan Ibrahim.
 
Tuan Ibrahim yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pahang malah membidas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dengan menyifatkan kemenangan Umno-BN yang kekal sehingga hari ini adalah disebabkan dirinya sendiri.
 
Tambahnya, kerosakan yang ada pada hari ini bukan sesuatu yang baru, malah bercambah sejak kerajaan berada di bawah pemerintahan Dr Mahathir, yang mana ditentang oleh PAS sejak dulu lagi.
 
"Ketika Tun menjadi Perdana Menteri, pembangkanglah paling hebat ditekan, ditindas sehingga pelbagai tragedi berlaku. Royalti minyak Kelantan tidak diberi, malah royalti minyak Terengganu dijadikan wang ehsan sejurus PAS mengalahkan Umno di Terengganu.
 
"Di zaman Tun, semua timbalan Tun yang Tun rasa tak sesuai dipecat dengan pelbagai tuduhan. Sebahagian mereka kerana menentang rasuah, salah guna kuasa dan kronisme yang berlaku di waktu itu. Kini istilah itu bertukar kepada kleptokrasi. 
 
"Gunalah apa istilah sekalipun hakikatnya penyelewengan terus berleluasa. Ia menjadi budaya di dalam Umno yang kekal sehingga hari ini sehinggalah Tun sendiri pun terasa meluat melihatnya.
 
"Di bawah PM Datuk Seri Najib Razak, Umno-BN hampir tumbang pada PRU13. Rakyat mempunyai peluang keemasan untuk menumbangkan BN bersama Pakatan Rakyat di PRU13, tapi ketika itu Tun memilih bersama Umno melalui Perkasa untuk mengekalkan kekuasaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga BN," katanya.
 
Menurutnya, perjuangan PAS daripada penubuhannya sehingga kini tidak pernah berubah, iaitu meletakkan Islam di tangga teratas tanpa sebarang kompromi.  
 
"Kalau nak dituduh PAS perosak, lihatlah cermin dahulu siapa yang konsisten, siapa yang sentiasa U-turn," katanya lagi. 
 



Ruangan Komen