Array


 Nasional   

Syarat PAS agar PKR tinggalkan PH tidak wajar - Amirudin

pada 12-09-2017 04:09 

Post Pic

 
 
SHAH ALAM: PAS tidak wajar meletakkan syarat kepada PKR supaya keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya ingin kedua-dua parti itu terus menjalinkan kerjasama politik, kata Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari.
 
ADUN Batu Caves itu berkata, desakan itu dilihat tidak selari dengan matlamat PKR yang mengamalkan keterbukaan dengan semua parti pembangkang bagi membentuk kesatuan yang utuh terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"PKR masih berpegang kepada pandangan bahawa semua parti pembangkang perlu ada kesatuan dan kita juga sedang berusaha ke arah itu.
 
"Semua orang boleh beri cadangan termasuk PAS, namun kami konsisten dengan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) sebelum ini bahawa kesatuan semua pembangkang itu menjadi keutamaan kami," katanya mengulas perkembangan berhubung rundingan dengan PAS.
 
Beliau terdahulu menghadiri Perbincangan Meja Bulat Belanjawan Selangor 2018 di sini hari ini.
 
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari semalam berkata bahawa partinya hanya akan membuka pintu rundingan dengan PKR sekiranya ia meninggalkan PH.
 
Gabungan pembangkang itu terdiri daripada tiga lagi parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Amanah dan DAP, yang mana kedua-duanya merupakan seteru PAS. 
 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam suratnya awal bulan ini mengakui beliau mempersetujui rundingan antara partinya dengan PAS.
 
Malah Anwar turut mengingatkan pemimpin PKR supaya tidak memutuskan hubungan dengan PAS selagi parti Islam itu bersedia untuk meneruskan perbincangan, selain menegaskan dasar PKR adalah tidak memusuhi PAS. 
 
Majlis Presiden PH pada awal bulan lepas mengumumkan gabungan itu menolak sebarang kerjasama dengan PAS, dan bersedia mengatur strategi untuk menghadapi saingan tiga penjuru pada PRU14 kelak.
 
 
-sh-


Tags : PAS PKR Amirudin


Ruangan Komen