Array


 Nasional   

PAS Pusat perlu dimaklum jika ada rundingan antara PAS-PKR Selangor

pada 12-09-2017 04:09 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

Post Pic

 
SHAH ALAM: PAS Pusat belum menerima sebarang makluman rundingan kerjasama yang dikatakan digerakkan antara PAS dan PKR di peringkat Selangor.
 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki bagaimanapun berkata jika ada pun perbincangan ke arah itu segala keputusannya akan dibawa ke peringkat PAS Pusat untuk dinilai dan dimuktamadkan.
 
"Setakat ini kita masih mengekalkan keputusan lama bahawa tahaluf siyasi dengan PKR sudah terputus. Cuma masih ada ruang dari segi kerjasama yang tidak terikat, iaitu 'taawun'. Sebagaimana diputuskan Majlis Syura, PAS sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk kepentingan Islam.
 
"Setakat ini saya tak dimaklumkan. Mungkin ada pimpinan PAS Selangor berbincang atau tidak, namun kita tak dimaklumkan. Jika ada pun mereka kena mendapatkan mandat PAS Pusat untuk mendapatkan keputusan," ujarnya kepada Antarapos, hari ini.
 
Baru-baru ini dikatakan PKR Selangor meneruskan rundingan dengan PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan saingan dua penjuru menentang Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya di negeri itu. 
 
Naib Presidennya, Dr Xavier Jeyakumar mengesahkan perbincangan PKR dengan PAS di peringkat negeri terus  diusahakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali namun menegaskan komitmen parti itu kepada Pakatan Harapan (PH) tidak harus dipersoalkan.
 
Xavier menjelaskan PKR terus mengusahakan perbincangan dengan PAS bagi memperolehi sebarang penyelesaian bersabit pengagihan  kerusi dalam menghadapi pilihan raya.   
 
ADUN Seri Andalas itu kemudiannya berkata sekiranya hasil perbincangan tidak seperti yang diharapkan, PKR tetap bersedia untuk menghadapi saingan pelbagai penjuru termasuk daripada  PAS pada PRU14 kelak. 
 
Xavier menegaskan apa yang penting ialah jangka masa sesuai ditetapkan untuk mencapai hasil yang disasarkan dalam rundingan PKR-PAS itu. 
 
Untuk rekod, mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas telah memuktamadkan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU14 dan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya itu.
 
Bagaimanapun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sepucuk surat pada 2 September lalu berkata beliau mempersetujui usaha Azmin berunding dengan PAS dalam membentuk kerjasama bagi menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
 
Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata surat Anwar menimbulkan "masalah" kepada pakatan pembangkang itu dan usaha akan dilakukan bagi memastikan PKR berhenti mengadakan rundingan untuk menjalin kerjasama dengan PAS. 
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi membayangkan sebarang kerjasama antara dua parti hanya akan dipertimbangkan jika PKR sanggup keluar daripada PH dan menyertai Gagasan Sejahtera yang merangkumi PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).  
  
-ze-
 
 


Tags : PAS Pusat PAS-PKR Selangor


Ruangan Komen