Array


 Nasional   

Trump: Saya amat berbesar hati menerima anda di Rumah Putih

pada 13-09-2017 08:09 

Post Pic

 
WASHINGTON DC:  Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi sambutan penuh mesra ketika kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ke Rumah Putih, menjelang tengah hari tadi waktu tempatan.
 
Trump menunggu ketibaan Najib di pintu masuk West Wing, Rumah Putih, dan kedua-duanya dilihat bersalaman erat beberapa ketika dan saling tersenyum.
 
Beliau turut memberi peluang kepada kru media merakam detik bersejarah sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-AS itu.
 
"Saya hanya mahu berkata, ia satu penghormatan untuk menerima delegasi anda bersama kami.
 
"Terima kasih kepada delegasi dan saya menghargai kehadiran semua yang hadir. Tuan Perdana Menteri, saya sangat berbesar hati untuk menerima anda di Amerika Syarikat dan Rumah Putih," katanya dipetik Berita Harian Online.
 
Trump kelihatan amat ceria dan bersemangat mengalu-alukan Najib dalam ucapan pembukaan mesyuarat delegasi di Cabinet Room, yang turut dibuka kepada media Malaysia kemudian.
 
Beliau juga berharap dapat bersama sekali lagi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, minggu depan.
 
UNGA akan berlangsung minggu ini sehingga minggu depan dan berdasarkan ucapannya itu, Trump akan menghadirinya.
 
Selepas berakhir kunjungan, Trump mengiringi Najib hingga ke muka pintu untuk mengucapkan selamat jalan, luar daripada kelaziman beliau hanya menghantar pemimpin yang melawat pejabatnya sehingga ke lantai utama sahaja.
 
Seorang pegawai mengingatkannya mengenai perkara itu, tetapi beliau maklumkan akan mengiringi Najib hingga ke tingkat bawah.
 
"Beliau (Najib) sahabat saya," katanya.
 
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pelaburan besar Malaysia di AS.
 
Selain itu, beliau memuji dan menghargai peranan Najib membantu membendung ancaman Daesh dan pergerakan lain.
 
"Beliau (Najib) sangat tegas menentang keganasan di Malaysia dan sangat kuat dengan pendirian itu. Ini amat penting kepada AS," katanya.
 
Najib pula memberitahu Trump, AS telah menjadi rakan kongsi sejak sekian lama dan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini, ia diharap akan lebih kukuh pada masa depan.
 
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas jemputan Trump dan membawa beberapa cadangan bernilai untuk dibincangkan.
 
Ia termasuk meningkatkan pelaburan di AS serta kerjasama ekonomi untuk manfaat bersama.
 
Antaranya, untuk menambah pembelian pesawat Boeing Malaysian Airlines Berhad (MAB) serta pertambahan pelaburan oleh Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad.



Ruangan Komen