Array


 Nasional   

Amanah bakal hilang deposit pada PRU14, kata penganalisis

pada 13-09-2017 01:09 
Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

SHAH ALAM: Parti serpihan PAS, Amanah bakal kehilangan deposit mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) malah jauh sekali untuk melakukan sebarang kejutan.
 
Seorang ahli akademik yang juga penganalisis politik, Edwin Michael berkata, beliau berpandangan prestasi parti pimpinan Mohamad Sabu itu masih boleh dipertikaikan sekalipun pernah menyertai Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu.
 
Ini kerana menurut beliau, Amanah dilihat tidak mempunyai satu tawaran yang jelas kepada pengundi khususnya Melayu, selain dilihat sebagai proksi kepada DAP.   
 
"Sekarang ini apa ideologi Amanah? Untuk tujuan apa Amanah ditubuhkan, selain menjadi proksi DAP untuk memecah belahkan undi masyarakat Melayu. 
 
"Walaupun DAP menafikan semua ini, tapi kita semua tahu siapa di belakangnya (Amanah)," katanya kepada Antarapos.
 
Isnin lalu, Amanah berkata parti itu bukan 'seronok-seronok' bertanding pada PRU14, tetapi kerana mahu merampas kuasa daripada parti yang gilakan kuasa, yang dipercayai dirujuk kepada PAS. 
 
Malah Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu juga tidak menolak untuk menjadi calon kerana mendakwa banyak perwakilan negeri mencadangkan namanya untuk bertanding dalam pilihan raya kelak.
 
Ketika ditanya sama ada wakil rakyat Amanah yang memenangi kerusi atas tiket PAS pada PRU13 mampu mengekalkan kerusi masing-masing pada pilihan raya akan datang, ujar Edwin, peluang untuk mereka kehilangan kerusi tetap ada.
 
Katanya, ini kerana kemenangan sebelum ini adalah atas faktor parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bukan atas faktor peribadi semata-mata.   
 
"Bagi mereka yang ada kerusi sekarang, peluang untuk hilang kerusi yang mereka sandang kini (ada), bukan saja kerana parti tapi kerana objektif dan ideologi parti politik yang mereka wakili sekarang sangat kabur berbanding apa yang mereka wakili sebelum ini di bawah PAS," ujarnya. 
 
Amanah ditubuhkan pada 2015 oleh sebahagian bekas pemimpin PAS yang tidak sealiran dengan kepimpinan parti di bawah teraju Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 
 
Untuk rekod, setakat ini parti itu mempunyai 13 wakil rakyat yang memenangi kerusi atas tiket PAS pada PRU13 lalu. 
 
Mereka ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu) 
 
Selain itu, tujuh ADUN Amanah ialah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Klang), Hasnul Baharuddin (Morib), Datuk Husam Musa (Salor) dan Syed Hamid Syed Mohamed (Kuala Semantan). 
 



Ruangan Komen