Array


 Nasional   

Premis baru tahfiz mula beroperasi tahun depan

pada 22-09-2017 07:09 

Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Premis baru bagi menempatkan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hanya dapat beroperasi mulai tahun depan, demikian menurut pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood. 
 
Ujarnya, operasi yang sepatutnya dijadualkan pada Oktober ini terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan kerja penambahbaikan yang perlu mematuhi beberapa ciri keselamatan sebagaimana yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat. 
 
“Semalam ketika bomba melakukan pemeriksaan, mereka menyuruh kami membuat beberapa ubah suai dan penambahbaikan antaranya memasang penyedut asap dan loceng kecemasan,” katanya kepada pemberita hari ini.
 
Menurutnya proses berkenaan akan mengambil masa beberapa bulan, sebelum semua pelajar meneruskan aktiviti pembelajaran di bangunan baru.
 
Justeru ujar Mohd Zahid, pihaknya akan mencari tempat baru di lokasi berhampiran pusat tahfiz yang terbakar sebagai pusat pengajian sementara supaya para pelajar yang bercuti dapat meneruskan pembelajaran secepat mungkin.
 
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.
 
“Kami akan bersemuka dengan mereka (ibu bapa) kerana tidak mahu ada pihak ketiga mengeruhkan keadaan. Sumbangan yang kami peroleh akan dipulangkan kepada keluarga mangsa dan hanya sebilangan kecil sahaja akan digunakan untuk membaiki kerosakan pusat tahfiz yang terbakar ini,” katanya.
 
Dalam kejadian awal pagi 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu terkorban akibat terperangkap selepas tingkat atas bangunan tiga tingkat itu terbakar, dipercayai angkara khianat. 
 
Berikutan itu, polis menahan tujuh suspek berusia antara 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan.
 
 
 
-sh-


Tags : tahfiz


Ruangan Komen