ISTIMEWA



 Nasional   

PRU13 tidak akan dipengaruhi isu kaum, kata MCA

pada 28-06-2012 06:06 Ditulis Oleh Ahmad Aidil Syukri

Post Pic

 

SHAH ALAM: Naib Pengerusi Biro Aduan MCA, Calvin Chong berpendapat kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipengaruhi isu kaum adalah tidak tepat.

Menurut Calvin, rakyat kini lebih matang di mana hubungan antara kaum semakin kukuh dan soal perkauman bukan lagi isu.

Beliau yang dihubungi AntaraPos.com turut menyatakan kepentingan kaum bukan lagi menjadi kriteria utama dalam menentukan pemimpin yang bakal dipilih oleh rakyat.

“Saya rasa kenyataan yang dibuat Tun M itu tak berapa tepat sebab masih ramai penduduk seperti kaum cina yang menyokong Melayu, sokong India.

“Sekarang ini orang sudah tidak fikirkan kaum sahaja, ia adalah individu, calon sama ada dia bersih atau kerja keras, rajin atau berwibawa.

"Jadi ini sebenarnya adalah perkara yang lebih penting pada PRU13 nanti. Bukan dari segi macam dulu punya pilihan raya yang pilih melalui kaum, tak ada,” katanya.

Menurutnya lagi, masyarakat di negara kini tidak lagi mempunyai masalah untuk menyokong calon yang bukan daripada kaum mereka ketika mengundi.

“Sekarang ada Cina yang sokong PAS, ada Melayu yang sokong MCA. Jadi saya rasa kenyataan Tun M tidak berapa tepat sebab ia masih mengandungi orang yang berwibawa, bukan semata-mata untuk kaum sahaja,” tambah beliau.

Mahathir hari ini berpendapat rakyat kini semakin rasis selain membayangkang bahawa ianya tidak akan memberi manfaat kepada perkembangan negara sekiranya kerajaan bersikap lemah menangani penularan budaya itu.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) semakin lemah selepas hilang kuasa dua per tiga Parlimen pada Mac 2008 yang memaksa parti kerajaan itu menyelesaikan kemelut perkauman di negara ini.

Datuk Seri Najib Razak telah mengambil alih pemerintahan negara pada 2009, setahun selepas BN mencatatkan rekod terburuk dalam sejarah pilihan raya apabila hilang 82 kerusi Parlimen dan lima negeri.


Ruangan Komen