ISTIMEWA



 Nasional   

PM tak campur tangan LRT Ampang - Pemuda Umno

pada 29-06-2012 04:06 Ditulis Oleh Jeremy Seng

Post Pic

 

SHAH ALAM: Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan (bawah, kanan) menolak sebarang dakwaan salah guna kuasa yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri berhubung penganugerahan kontrak Rel Tambahan LRT Ampang yang dibangkitkan oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Katanya, sikap pembangkang yang sering mempersoalkan ketelusan kerajaan tidak perlu diberi perhatian tetapi sebaliknya rakyat harus menanam kepercayaan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak telah membawa perubahan di negara ini.

"Saya percaya bahawa Perdana Menteri ada mekanisme, ada tata cara yang diikuti dan ada sebab kenapa projek ini diberi kepada konsortium itu dan melalui proses yang telus," jelas Sohaimi.

Rafizi awal minggu ini yang merujuk laporan akhbar Business Times, 22 Jun lalu berkata kontrak penyambungan rel LRT Ampang bakal dianugerahkan kepada syarikat George Kent.

Sedangkan, dakwanya Najib, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang menganggotai Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) telah meluluskan tender berkenaan kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys.

Berdasarkan laporan itu Rafizi mendakwa perdana menteri bertindak campurtangan memberi kontrak itu kepada syarikat lain.

Portal The Malaysian Insider turut melaporkan hari ini bahawa syarikat George Kent didakwa antara pembida yang gagal dalam aspek penilaian teknikal dan komersial bagi kontrak bernilai RM1 bilion itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad yang dihubungi menasihatkan pihak media agar tidak memperjudikan integriti dan maruah seorang pemimpin negara.

Beliau percaya sebagai seorang Perdana Menteri, Najib tidak akan melakukan sebarang tindakan berkepentingan yang boleh mengakibatkan terhakisnya kepercayaan rakyat.

"Saya agak terkejut sebab saya lebih percaya PM Najib tidak akan melakukan perkara-perkara tersebut sebab beliau tahu pada akhirnya perkara itu akan didedahkan dan seandainya seperti apa yang berlaku hari ini maka ia cukup mengaibkan.

"Apa gunanya kalau kita telah memberikan satu jawatankuasa untuk menentukan konsortium yang diamanahkan, kalau kita pada penghujungnya bercampur tangan dan memilih daripada pihak yang kita nak?" ujar beliau lagi.


Ruangan Komen