ISTIMEWA



 Nasional   

Tiada keperluan BN beli ahli parlimen, kata Bung

pada 29-06-2012 04:06 Ditulis Oleh Siti Sofia Md Nasir

Post Pic

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak pernah menawarkan wang kepada mana-mana pihak untuk lompat parti seperti mana yang didakwa pembangkang.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana BN mempunyai banyak kerusi di Dewan Rakyat yang membolehkan parti itu membentuk sebuah kerajaan.

"Saya tetap yakin bahawa BN tidak perlu menawarkan mana-mana pihak untuk lompat parti kerana kita sudah cukup dalam BN ni.

"Jadi tanggapan sedemikian merupakan satu putar belit dan tidak berasas sama sekali sebab saya tetap yakin Perdana Menteri adalah salah seorang pemimpin yang amanah, berdedikasi dan bermaruah," katanya kepada AntaraPos.com.

Beliau berkata, apa yang didakwa oleh pembangkang itu adalah satu tuduhan palsu yang berniat untuk memburukkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bung turut mendesak agar pihak berkuasa menjalankan siasatan bersabit dakwaan berkenaan kerana ia boleh melemahkan dan memalukan kepimpinan negara.

Ahli Parlimen PKR, Azan Ismail baru-baru ini mendakwa beliau telah ditawarkan lebih RM5 juta untuk lompat parti pada tahun 2010 namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai tuduhan tersebut.

Sebelum itu AJK PAS Pusat Khalid Samad telah mendedahkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sekumpulan individu didakwa sedang berunding tentang "harga" untuk lompat parti.

Antara nama yang disebut menjadi ejen Umno adalah bekas ahli PKR Zamil Ibrahim.


Ruangan Komen