ISTIMEWA



 Nasional   

Tiada jaminan Khalid Samad kekal calon PRU - PAS

pada 02-07-2012 04:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menjelaskan "nasib dan masa depan" Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad untuk dikekalkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terserah kepada pucuk pimpinan parti tersebut.

Malah Abdul Rani menegaskan Khalid mungkin tidak akan dipilih semula jika parti memilih calon lain yang dirasakan lebih baik.

"Tak tentu, ada dua atau tiga nama lain daripada beliau (Khalid). Tidak semestinya beliau (dipilih sebagai calon).

"Di Parlimen kita ada tiga nama, tidak semestinya beliau dipilih," katanya kepada AntaraPos.com.

Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru mengulas kenyataan Khalid yang mengesahkan mahu bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam pada pilihan raya umum akan datang.

Khalid bagaimanapun berkata, kata putus terletak di tangan PAS Pusat.

Malah beliau memberitahu terdapat dua lagi nama daripada PAS yang akan diletakkan untuk bertanding di kerusi tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata setakat ini namanya dicadangkan oleh PAS Shah Alam untuk kekal bertanding di kerusi itu.

“Saya akan bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam dan kemungkinan besar begitu, dalam sistem PAS ini apa yang dilakukan ialah setiap kawasan mencadangkan tiga nama.

“Nama saya telah dicadangkan oleh PAS Shah Alam dan PAS Pusat akan menentukannya sebelum penamaan calon. Maknanya pembubaran di Parlimen dilakukan oleh PAS Pusat dan calon-calon ini akan ditapis dan akhirnya akan ditentukan siapa yang akan dipilih,” katanya.

Kedudukan wakil rakyat PAS 'tak selamat'

Dalam pada itu, Abdul Rani berkata wakil rakyat PAS di Selangor "mungkin" akan digugurkan dari senarai nama parti untuk PRU13 sekiranya terdapat calon yang lebih layak dan bagus, kata Abdul Rani.

Beliau berkata, tiada sesiapa dalam parti itu mendapat layanan 'istimewa' dan semua pihak boleh dipilih menjadi calon jika dirasakan sesuai oleh pucuk pimpinan parti.

Jelas Abdul Rani, "nasib dan masa depan ADUN dan Ahli Parlimen terserah kepada PAS Pusat."

"Mungkin ada calon yang lebih baik, PAS Pusat akan ditentukan. Nasib saya dan wakil rakyat terserah kepada PAS Pusat," katanya.

Kata Abdul Rani, PAS Selangor telah menyerahkan senarai nama calon kepada pimpinan tertinggi parti, menambah 80 peratus muka lama turut disenaraikan.

"Setiap kawasan hantar tiga nama calon. Setiap DUN hantar tiga nama, begitu juga kerusi Parlimen.

"Kita telah serahkan nama-nama ini kepada PAS Pusat yang akan menentukan siapa calon yang layak," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, PAS diperuntukkan 20 kerusi DUN manakala PKR dan DAP masing-masing diperuntuk 21 dan 15 di negeri itu.

Di Selangor, terdapat 22 kerusi Parlimen dan 56 Dun. Daripada jumlah itu, PAS memenangi 12 kerusi, PKR dan DAP masing-masing memenangi 15 dan 13 kerusi.

Manakala bagi kerusi Parlimen di negeri itu, PAS dan DAP masing-masing memenangi empat kerusi dan PKR sembilan kerusi.


Ruangan Komen