ISTIMEWA



 Nasional   

SBPA - punca kontrak 2 pegawai tak diperbaharui

pada 02-07-2012 05:07 

Post Pic

PUTRAJAYA: Kegagalan merumus dan melaksanakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) adalah antara punca mengapa kontrak dua pegawai tertinggi kerajaan tidak disambung.

Antarapos.com. difahamkan bahawa kontrak bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan tidak diperbaharui kerana sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penggubal SBPA beliau dikira patut bertanggungjawab ke atas kegagalan itu.

Sumber Jabatan Perkhidmatan Awam menyebut bahawa pihak kerajaan juga mahu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah yang juga anggota jawatankuasa berkenaan turut tidak diperbaharui kontrak perkhidmatannya.

Pada 19 Jun lalu diumumkan Datuk Seri Dr Ali Hamsa untuk mengisi jawatan Ketua Setiausaha Negara berkuatkuasa 24 Jun.

Bagaimanapun Sidek kemudian ditawarkan jawatan sebagai Pengerusi Petronas minggu lalu.

Tak mahu bertanggungjawab

Adalah dlifahamkan bahawa Tan Sri Abu Bakar dikatakan enggan menerima keputusan melepaskan jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kerana tidak mahu bertanggungjawab di atas kegagalan skim berkenaan.

“Tan Sri Abu Bakar dikatakan tidak mahu menerima hakikat bahawa dia turut bertanggungjawab dengan alasan bahawa Tan Sri Sidek adalah pengerusi jawatankuasa penggubal SBPA sejak tahun 2007 lagi,” kata sumber berkenaan.

Beliau menganggap kegagalan SBPA seharusnya dipikul oleh Tan Sri Sidek seorang kerana beliau (Tan Sri Sidek) yang tidak berjaya menerajui jawatankuasa penggubal SBPA.

Bagaimanapun ada pihak yang tetap mahu Tan Sri Abu Bakar turut memikul tanggungjawab itu kerana beliau adalah ketua jabatan yang menjadi sekretariat dan akan melaksanakan skim jika diterima pakai.

“Sepatutnya beliau harus memberi komen dan idea bagaimana menjamin SBPA boleh memberi manfaat kepada semua peringkat perkhidmatan awam tidak kira siapa yang menjadi pengerusi,” kata sumber berkenaan.

Cabar keputusan

Sebaliknya Antarapos.com difahamkan bahawa Tan Sri Abu Bakar telah mendapatkan khidmat seorang peguam sebuah parti komponen Pakatan Rakyat untuk mencabar keputusan tidak mahu menyambung kontrak perkhidmatannya itu.

Sebelum ini, Tan Sri Abu Bakar, 57 tahun, disebut-sebut sebagai pegawai yang akan mengisi jawatan Ketua Setiausaha Negara yang bakal dikosongkan oleh Sidek.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan SBPA yang dicadangkan oleh jawatankuasa pimpinan Sidek itu batal kerana ada banyak kelemahan dan unsur imbuhan serta emolumen yang tidak merata keadilannya.

Sebaliknya Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya bagi mengkaji dan menimbangkan sebarang cadangan untuk penambaikan perkhidmatan awam.

Sebelum itu, cadangan SBPA mendapat banyak kritikan daripada pelbagai lapisan perkhidmatan awam sehingga memaksa perdana menteri memutuskan Sistem Saraan Malaysia (SSM) terus digunapakai dengan beberapa penambaikan.

Antarapos.com juga difahamkan bahawa Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar akan mengadakan sidang akhbar esok berhubung isu ini.


Ruangan Komen