ISTIMEWA



 Nasional   

Tiada kerusi khas bagi pemimpin utama PAS S'gor

pada 03-07-2012 10:07 Ditulis Oleh  Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menegaskan parti itu tidak memperuntukkan sebarang "kerusi khas" untuk pemimpin negeri itu termasuk sayap parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Tegas Abdul Rani, pemilihan calon pilihan raya negeri itu dibuat mengikut kemampuan dan kelayakan seseorang dan bukannya berdasarkan jawatan dalam parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu menambah selaku pemimpin utama negeri, beliau juga mengingatkan diri agar sentiasa menunjukkan kemampuan dan prestasi sekiranya mahu terpilih sebagai calon.

Abdul Rani menambah setiap daripada anggota parti perlu bersaing dan menjadi yang terbaik untuk rakyat.

"Saya juga selaku Pesuruhjaya PAS negeri, tiada kerusi khas untuk saya. Begitu juga pemimpin lain.

"Maksudnya, kita tidak jamin bahawa kalau kamu ketua Muslimat mesti dapat kerusi... kita mahu calon yang boleh menang," katanya kepada AntaraPos.com.

Pada pilihan raya umum 2008, PAS diperuntukkan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PKR dan DAP masing-masing diperuntuk 21 dan 15 di negeri itu.

Di Selangor, terdapat 22 kerusi Parlimen dan 56 DUN. Daripada jumlah itu, PAS memenangi 12 kerusi, PKR dan DAP masing-masing memenangi 15 dan 13 kerusi.

Jelas Abdul Rani, perkara itu pernah dibangkitkan dalam mesyuarat dan ia telah diperjelaskan kepada pimpinan negeri.

"Calon yang boleh menang, kita tiada kerusi khas untuk mereka. Mereka kena tunjukkan prestasi baru boleh terpilih.

"Ia ada dibangkitkan dulu, mereka kena usaha sendiri...tak boleh senang-senang ambil kerusi selamat," katanya.


Ruangan Komen