ISTIMEWA



 Nasional   

ADUN DAP keluar Dewan tak puas hati isu gambar

pada 03-07-2012 11:07 Ditulis Oleh Maulana Malik Ibrahim

Post Pic

MELAKA: Semua lima Ahli Dewan Undangan Negeri DAP bertindak keluar Dewan semasa persidangan sedang berlangsung hari ini.

Mereka mendakwa wujud unsur konspirasi oleh pihak BN untuk memburuk-burukkan imej Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan percubaan memalukan isteri beliau,
Betty Chew Gek Cheng berhubung isu seorang wanita yang dikaitkan dengan suaminya, yang dibangkitkan oleh Datuk Gan Tian Loo (BN-Duyong) semalam.

Dakwaan berkenaan yang dipaparkan di dalam beberapa blog di internet menyatakan kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit ada hubungan dengan wanita berkenaan.

Kekecohan hari ini tercetus sebaik Ketua Pembangkang, Goh Leong San (DAP - Kesidang) mempersoalkan tindakan Speaker DUN, Datuk Othman Muhamad, membenarkan beberapa media arus perdana termasuk RTM dan TV3 merakamkan ketika sidang sedang berlangsung.

Othman yang menjawab persoalan itu bagaimanapun menjelaskan, kebenaran itu adalah atas percaya dengan etika serta kredibiliti pihak media yang membuat liputan.

Jawapan berkenaan bukan sahaja mengundang rasa tidak puas hati blok pembangkang malah malah terus mengundang bantahan semua lima wakil rakyat dari DAP terbabit.

ADUN DAP berkenaan, turut mendakwa wujudnya pakatan di pihak Speaker dan bersama wakil rakyat BN iaitu Datuk Gan Tian Loo (MCA - Duyong) untuk memburukkan imej Ketua Menteri Pulau Pinang, lantaran sengaja menimbulkan isu itu.

Kelima-lima wakil DAP berkenaan kemudiannya terus meninggalkan dewan, menyebabkan persidangan berkenaan terpaksa ditangguhkan selepas makan tengahari.

Isteri Ketua Menteri Pulau Pinang Betty Chew (DAP-Kota Laksamana) ketika membuat sidang media mengganggap tindakan berkenaan adalah taktik yang menjijikkan oleh pihak BN untuk menjatuhkan keluarganya.

"Sejak saya menyertai Sidang Dewan Undangan Negeri di Melaka sudah tiga penggal, tidak pernah ada rakaman video di dalam dewan oleh pihak media, kecuali prosiding yang ada TYT atau pembentangan bajet.

"Kita lihat mereka memberikan satu rakaman penuh dan sudah terbukti apabila kita melihat berita tersiar di stesyen Media Prima pada jam 8 di TV3, sudah jelas ini adalah satu konspirasi untuk cuba membangkitkan suatu isu yang tidak pernah berlaku.

"Saya percaya ini adalah satu konspirasi oleh BN dengan MCA untuk membunuh imej saya dengan suami saya menggunakan fitnah dan saya rasa ini adalah satu perbuatan yang jahat dan tidak boleh dimaafkanlah," katanya.

Malah beliau mendakwa, tindakan itu juga menampakkan pemimpin BN tiada maruah apabila menggunakan taktik kotor berikutan ia dijalankan didalam dewan.

"Saya rasa kalau pemimpin terbabit ada moral, beliau harus ulangi tuduhan itu di luar dewan dan jangan berselindung dalam dewan dan jangan jadi pengecut.

"Saya nak tanya kepada Gan Tian Loo, you adalah seorang bapa dan you ada anak, boleh buat fitnah ini semata-mata untuk kepentingan parti dan saya nak MCA jawab adakah MCA setuju Gan Tian Loo buat iaitu guna dewan sebagai platform untuk menjatuhkan kita," katanya yang mengganggap tindakan itu sebagai perangkap.

Sementara itu, seorang lagi wakil rakyat pembangkang, Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) tindakan BN ini sebagai satu usaha serangan oleh pihak BN yang tidak pernah reda.

"Sebelum ini kita dapat lihat mereka cuma menjejaskan imej Guan Eng, dengan menukar gambar kepala Guan Eng daripada gambar Nizar di satu majlis korban dengan menggunakan teknologi IT. Kejadian untuk membangkitkan suatu isu ini berlaku kira-kira satu atau dua tahun lalu.

"Apabila mereka menyerang Guan Eng tidak berjaya mereka cuba mengalihkan sasaran mereka terhadap anak Guan Eng pula dengan menimbulkan satu isu yang tidak pernah berlaku pun. BN belum berputus asa dan sekarang mereka beralih kepada isteri kepada Guan Eng pula, jadi sasaran," katanya.

Beliau yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu dan menganggap tuduhan yang dilemparkan tidak pernah berlaku.

"Mereka menyatakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam dewan sekaligus mencemari imej dewan.

"Kali ini banyak surat khabar Utusan Malaysia dengan sengaja diletakkan di luar dewan untuk di ambil secara percuma jadi ini jelas menunjukkan satu konspirtasi," katanya.


Ruangan Komen