ISTIMEWA



 Nasional   

PKR dakwa George Kent gagal penilaian bidaan

pada 03-07-2012 12:07 Ditulis Oleh Farah Eliana Adnand

Post Pic

PETALING JAYA: Setelah membuat laporan polis bagi meminta sisatan dijalankan terhadap dakwaan campur tangan Perdana Menteri hingga membolehkan Konsortium George Kent berjaya memenangi kontrak kerja-kerja sambungan Aliran Transit Ringan (LRT)  Ampang, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini membuat pendedahan fasa ketiga dokumen penyelewengan berkenaan.

Kali ini, dakwanya, George Kent gagal dalam penilaian bidaan yang dijalankan oleh syarikat perunding kejuruteraan HSS Integrated Sdn Bhd yang menggunakan kepakaran perunding antarabangsa, Halcrow. Kegagalan itu adalah dari aspek kewangan serta penilaian teknikal terendah syarikat itu berbanding lapan pembida lain.

Malah, Rafizi turut memberi lampiran butiran keputusan yang menunjukkan tahap penilaian teknikal dan kewangan konsortium tersebut.

"Mukasurat 7 dan 8 dari surat itu yang menyenaraikan keputusan penilaian bidaan ada disertakan bersama. Ia secara jelas menunjukkan bahawa George Kent gagal dari aspek kewangan.

"Konsortium itu adalah antara pembida yang mendapat penilaian teknikal terendah pada mata 38.62 sahaja yang diragui kemampuan teknikal dan tidak berpengalaman mengendalikan projek seperti ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Tambah Rafizi lagi, Konsortium George Kent ini tidak layak dianugerahkan kontrak tersebut kerana tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan projek LRT serta gagal mematuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Justeru, katanya, campur tangan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam penganugerahan kontrak tersebut seperti yang dilaporkan dalam Business Times pada 22 Jun lalu menunjukkan beliau tidak menghiraukan bahaya dan risiko keselamatan awam apabila projek penyambungan sistem LRT itu diserahkan kepada syarikat yang langsung tiada pengetahuan mengenai LRT.


Ruangan Komen