ISTIMEWA



 Nasional   

PKR cadang negeri tubuh dana khas parti politik

pada 03-07-2012 03:07 Ditulis Oleh Ahmad Fadzly Esa

Post Pic

 

SUBANG JAYA: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan cara untuk menyuburkan demokrasi dengan mewujudkan peruntukan dana khas kepada parti-parti politik Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata kaedah tersebut telah pun digunapakai oleh negara-negara luar yang mempunyai kematangan politik sepertimana yang berlaku di Malaysia.

"Kalau kerajaan negeri Selangor boleh lonjakkan minda rakyat dan struktur politik negeri macam di negara-negara yang maju dan matang politiknya. Kenapa kerajaan Persekutuan dan negeri lain tidak mahu menurut langkah yang sama," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci peruntukan dana khas tersebut.

Dalam perkembangan lain, Rafizi Ramli mencadangkan agar pimpinan PR menerbitkan akhbar bersifat nasional di keempat-empat buah negeri ditadbir.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau menyarankan setiap kerajaan negeri supaya menyelaraskan penerbitan warta negeri masing-masing yang mana sebelum ini di bawah satu jenama dengan setiap edisi berlainan.

"Mungkin warta rakyat edisi Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor..sama seperti akhbar Sinar Harian yang kita ada sekarang dan kelebihannya adalah ia sudah mencapai status nasional.

"Saya fikir mungkin pentadbiran kerajaan negeri dari segi belanjawan boleh memikirkan apakah dari segi undang-undang dan pentadbiran dan kewangan perkara ini boleh dilaksanakan.

"Makna kalau itu kita dilaksanakan, kita sudah ada satu media yang merentasi negeri yang bersifat nasional tetapi masih lagi berada dalam kekangan undang-undang ditetapkan oleh kerajaan pusat.

"Kehadiran media sebegini yang bersifat nasional menambahkan lagi ruang maklumat bersifat telus dan tepat yang rakyat dapat sekali gus dapat membantu pada pilihan raya umum dan pilihan negeri akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum "Ke Arah Pendemokrasian Pilihan Raya Di Malaysia : Mitos Atau Realiti?" di program Dialog Bajet Selangor 2013 "Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia" di sini, hari ini.

Dalam ucapanya, Rafizi memuji kerajaan selangor yang memberi perhatian cukup serius terhadap sebarang maklumat kerana dalam belanjawan lepas negeri itu telah memperuntukan belanja khas untuk pastikan organ maklumat kerajaan negeri berjalan dengan baik.

"Kalau kita telah berjaya di negeri Selangor lakukan dengan baik, kita perlu ambil tanggungjawab untuk sebarkan ke seluruh negara, kita ada sedikit keistimewaan kerana masing-masing mempunyai surat khabar masing-masing. Saya difahamkan bahawa kerajaan negeri dibolehkan untuk menerbitkan akhbar sendiri.

"Jadi kita tidak ada masalah untuk terbitkan maklumat, kurangnya akhbar bersifat nasional yang adil dan menimbulkan perkara yang tidak akan disiarkan di akhbar perdana," ujarnya.


Ruangan Komen