ISTIMEWA



 Nasional   

Duit rakyat tebus hutang Talam: MB jawab esok

pada 03-07-2012 06:07 Ditulis Oleh Ahmad Fadzly Esa

Post Pic


SUBANG JAYA: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini enggan mengulas lanjut mengenai  dakwaan penyalahgunaan kuasa pembelian aset berjumlah RM676 juta dan penggunaan peruntukan sebanyak RM392 juta berkaitan Talam Corporation Berhad (Talam).

Sebaliknya beliau berjanji akan memberikan jawapan selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) keesokan harinya.

"Saya dengar khabar sudah mula berkurang... jadi saya rasa biarkan mereka dahulu sehingga esok selepas (mesyuarat) exco boleh jadi saya akan jawab, saya bagi dia masa untuk berfikir lagi," katanya pada sidang media selepas berucap di majlis penutup Dialog Bajet Selangor 2013 "Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia" di sebuah hotel di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong pada sidang medianya tengahari tadi yang menggesa kerajaan negeri Selangor mendedahkan mengenai pembelian aset berjumlah RM676 juta dan penggunaan peruntukan sebanyak RM392 juta berkaitan Talam Corporation Berhad (Talam).

Mengulas lanjut mengenai penstrukturan semula aset Talam, Abdul Khalid memberitahu pemberita yang beliau telahpun menjelaskan perkara itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempat dan lokasi tersebut.

"Seperti yang saya nyatakan baru-baru ini kita telah tunjukkan apa yang telah kita lakukan hasil daripada penstrukturan semula Talam termasuk projek-projek yang kita akan lakukan pembangunan hartanah yang telah kita buat," jelasnya.

Malah, Khalid akan mendedahkan laporan penuh hasil penstrukturan dan penyusunan semula Talam pada Bajet 2013 November ini.

"Jadi saya berpendapat kita akan keluarkan  kertas putih (white paper) dalam bajet 2013 maknanya kita akan buat satu laporan hasil daripada penyusunan semula hutang-hutang Talam apa yang telah kita lakukan dan buat dan seterusnya.

"Kita tidak hanya membuat satu perkara tersebut tanpa mempunyai asas-asas dan kenyataan (kukuh) tapi apa yang bagus saya tengok adalah bagaimana kurangnya kefahaman MCA tentang penyusunan semula Talam," ujarnya.


Ruangan Komen