Array


 Nasional   

Polis tahan pasangan muda buang bayi dalam sungai

pada 19-11-2017 09:11 

Post Pic

 
SEGAMAT: Polis menahan sepasang kekasih muda bagi membantu siasatan berhubung tindakan tidak berperikemanusian membuang bayi yang baru lahir ke dalam sungai di sini, Jumaat lalu.
 
Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat berkata, pasangan kekasih berusia 19 dan 21 tahun itu dipercayai membuang bayi lelaki tersebut di Sungai Kenawar, di sini.
 
Beliau berkata, pasangan itu ditahan ketika remaja perempuan berkenaan berada di wad kecemasan Hospital Daerah Segamat (HDS) pada jam 4 pagi Sabtu ketika hendak mendapatkan rawatan.
 
“Kami menerima laporan daripada petugas HDS yang curiga apabila mendapati remaja perempuan berusia 19 tahun itu mengalami pendarahan teruk seperti baru bersalin,” katanya.
 
Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek lelaki yang bekerja di kedai alat ganti kenderaan itu mengaku memasukkan bayi lelaki yang dilahirkan tidak cukup bulan itu ke dalam plastik sebelum membuangnya ke dalam sungai.
 
Raub berkata, bayi malang tersebut yang dianggarkan berusia 6 bulan dipercayai dilahirkan di rumah keluarga remaja perempuan berkenaan di Paya Pulai, sebelum teman lelakinya membuang bayi tersebut ke dalam sungai kira-kira 11.15 malam Jumaat.
 
“Kita membawa suspek lelaki ke tempat kejadian bagi mengesan mayat bayi itu pada jam 10 pagi Sabtu dan berjaya menemui bungkusan plastik yang terapung kira-kira jam 4 petang berhampiran tebing sungai,” katanya.
 
Beliau berkata, suspek lelaki direman empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
 
Suspek perempuan itu masih menerima rawatan di HDS dan siasatan lanjut akan dilakukan apabila suspek disahkan sihat oleh pihak hospital.
 
 


Tags : bayi pasangan muda


Ruangan Komen