ISTIMEWA



 Nasional   

Mahkamah tolak permohonan Utusan batal saman Syed Husin

pada 27-07-2012 12:07 

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, menolak permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak untuk membatalkan saman fitnah berjumlah RM10 juta yang difailkan Senator Dr Syed Husin Ali. 
 
Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan supaya kes itu dibicarakan selama dua hari bermula 29 Ogos. 
 
Beliau membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam N Surendran yang mewakili Syed Husin, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Utusan Melayu dan Abdul Aziz serta peguam Farah Mazlan mewakili anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin.
 
Pada Mei lalu, Zulkifli turut membuat permohonan yang sama (batalkan saman) tetapi menarik balik hari ini. 
 
Surendran memberitahu pemberita bahawa Vazeer juga membuat keputusan membenarkan Syed Husin meminda writ saman dan penyata tuntutan serta menetapkan 15 Ogos untuk pengurusan kes. 
 
Syed Husin, 76, bekas timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfail saman itu pada 27 Januari lalu dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain serta satu perintah injuksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah yang sama terhadapnya. 
 
Dalam pernyataan tuntutan, Syed Husin mendakwa Utusan Melayu dan Abdul Aziz secara palsu dan dengan niat jahat mencetak dan menerbitkan perkataan fitnah terhadapnya dalam artikel di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lalu, berjudul 'Zul Noordin Nafi Dakwaan Syed Husin'.
 
Syed Husin berkata, Zulkifli, dalam laman web peribadinya, menerbitkan semula artikel yang sama tetapi atas tajuk yang lain iaitu 'Anjing-anjing Pencen'. 
 
Sementara itu, menerusi pernyataan pembelaan Utusan Melayu dan Abdul Aziz yang difailkan pada 29 Februari lalu, kedua-duanya menafikan dakwaan Syed Husin dan mereka hanya menerbitkan semula apa yang disiarkan Zulkifli dalam blognya. 
 
Mereka juga mendakwa artikel itu diterbitkan semula dengan niat baik supaya dapat memberi maklumat kepada masyarakat awam. 
 
Zulkifli, yang memfail pernyataan pembelaan pada 28 Februari, pula berkata artikel di laman web peribadinya adalah komen berpatutan dan membabitkan kepentingan awam. 

Ruangan Komen