ISTIMEWA



 Nasional   

Hudud: Berbeza pendapat tidak halang kerjasama PAS-DAP

pada 27-07-2012 12:07 

Post Pic

 

 
PETALING JAYA: PAS akan tetap bekerjasama dengan DAP walaupun wujud perbezaaan pendapat dalam pelaksanaan hukum Hudud.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata perbezaan pendapat itu tidak akan merencatkan usaha dan kerjasama pakatan pembangkang dalam usaha mengambil alih kerajaan sedia ada.
 
"Kita akui wujud perbezaan pendapat dalam pakatan sendiri berkenaan dasar (pelaksanaan hukum Hudud) itu.
 
"Hal ini tidak seharusnya diperbesarkan kerana hukum tersbut hanya bagi umat Islam, mereka perlu menerima hukum itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada mStar Online. 
 
Beliau berkata, PAS akan tetap dengan dasar perjuangannya walaupun tidak dipersetujui DAP.
 
"Jika dilihat perwujudan enakmen hudud, kerana hanya Kelantan dan Terengganu yang sudah ada dan Kedah masih belum walaupun kita berjaya mentabdir negeri itu sejak 2008," katanya.
 
Baru-baru ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta pemimpin PAS supaya tidak terus membangkitkan isu negara kerana ia didakwa boleh merencatkan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
 
Karpal dipetik sebagai berkata, kepimpinan PAS perlu akur dengan Buku Jingga yang tidak memasukkan hudud sebagai satu agenda pemerintahan Malaysia dan manifesto dalam pilihan raya akan datang.
 
Malah, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menegaskan bahawa parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud walaupun ada tentangan daripada pihak lain termasuk DAP.
 
Nik Aziz, yang juga menteri besar Kelantan dilaporkan berkata semua pihak telah mengetahui hasrat PAS berhubung pelaksanaan hukum hudud terutama di negeri itu.
 
Beliau dipetik sebagai berkata tiada sebab PAS tidak melakukan sesuatu yang dianggap untuk kepentingan agama walaupun ada pihak yang tidak bersetuju.

Ruangan Komen