ISTIMEWA



 Nasional   

Cukai eksais: Pemimpin Umno cepat melatah- Rafizi Ramli

pada 27-07-2012 01:07 Ditulis Oleh Siti Sofia Md Nasir

Post Pic

PETALING JAYA: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli membidas reaksi awal pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) yang mempersoalkan sumber kewangan untuk membiayai rombakan struktur cukai kereta negara.

Rafizi berkata, kenyataan beberapa pemimpin Umno-BN yang cepat melatah menunjukkan mereka tidak memahami konsep cukai eksais.
 
"Kenyataan beberapa pemimpin Umno-BN yang cepat melatah bahawa rombakan struktur cukai ini akan menurunkan harga kereta berjenama antarabangsa setara dengan harga kereta Proton menampakkan mereka tidak memahami konsep cukai eksais.
 
"Cukai eksais yang dikenakan terhadap pembelian kereta adalah cukai menyeluruh yang tidak membezakan di antara jenama dan model kereta tempatan atau antarabangsa. Cukai eksais adalah cukai yang dikenakan terhadap sesuatu kumpulan barangan, maka cukai eksais terhadap pembelian kereta adalah cukai  dikenakan terhadap mana-mana pembelian kereta pada kadar yang sama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
 
Menurutnya, jika rombakan struktur cukai dibuat dan cukai eksais dihapuskan, harga kesemua model kereta akan turun dan kereta tempatan masih kekal sebagai harga kereta terendah di pasaran sekaligus tidak membebankan rakyat.
 
Rafizi kemudiannya mengaitkan perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwanya naik mendadak berbanding semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
 
"Sejak menjadi PM pada 2009, perbelanjaan mengurus dan pembangunan oleh Jabatan Perdana Menteri naik mendadak. Secara puratanya dengan membandingkan perbelanjaan di bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi dengan purata perbelanjaan tahun-tahun 2009, 2010, 2011 dan peruntukan 2012, perbelanjaan mengurus Jabatan Perdana Menteri telah melonjak sebanyak RM1.4 billion, sementara perbelanjaan pembangunan meningkat sebanyak RM4.6 billion.
 
"Sebab itu Keadilan yakin bahawa rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta lebih murah tidak akan membebankan negara jika segala keborosan PM dihentikan," katanya.
 
Keadilan juga, katanya, telah membincangkan mekanisme rombakan strukur cukai secara terperinci untuk memastikan penghapusan cukai eksais diganti dengan sumber pendapatan baru dan akan diumumkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu hadapan.
 

Ruangan Komen