ISTIMEWA



 Nasional   

MCA nafi projek Langat 2 adalah untuk kroni BN

pada 27-07-2012 02:07 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pemuda MCA Selangor, Datuk Ching Eu Boon menafikan dakwaan kerajaan negeri Selangor kononnya kerajaan pusat hanya mementingkan kroni dan isu pengagihan projek air langat 2.

Sambil, menegaskan bahawa tender bagi projek itu belum lagi dibuka, katanya, Pakatan Rakyat cuba mempolitikkan isu berkenaan dengan menuding jari dan 'mencari salah' pusat, semata-mata bagi meraih perhatian.

"Apa yang penting sebenarnya, bagaimana untuk menyelsaikan masalah ini, kita tidak mahu perkara ini dipolitikkan tanpa menuding jari antara satu dengan yang lain," katanya semasa menjadi tetamu dalam program diskusi Meja Bulat anjuran Antarapos, petang, semalam.

Diskusi yang membincangkan tajuk 'Isu air: Realiti atau politik' itu turut menjemput ahli exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dan Pengerusi Gerakan Pengguna Selangor Datuk Dr Jacob George.

Menurut Ching, tujuan utama kerajaan persekutuan mahu meneruskan projek Langat 2 adalah untuk memastikan masalah kekurangan air di Lembah Kelang mampu diselesaikan pada kadar segera.

"Projek Langat 2 ini perlu diteruskan adalah untuk menyelesaikan masalah ini kerana Menteri Besar tidak memberikan kerjasama memberitahu alternatif lain," katanya lagi.

Dalam pada itu, Xavier yang bertanggungjawab terhadap portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Selangor, mendakwa keputusan kerajaan pusat dalam pemilihan Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air sengaja cuba meminggirkan kepentingan rakyat.

Selain tidak mempunyai sebarang wakil Pakatan Rakyat ataupun NGO yang berkepentingan air, dakwanya, jawatankuasa berkenaan sememangnya mempunyai kepentingan tersendiri.

"Lima menteri yang berada dalam jawatankuasa yang ada kepentingan dalam Langat 2, Datuk Peter Chin Fa Kui, Datuk Idris Jala, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Datuk Noh Omar, Datuk Raja Nong Chik," dakwanya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas yang telah diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)  Datuk Peter Chin Fah Kui minggu lalu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jawatankuasa pusat itu turut dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Menurut Jayakumar, jika penubuhan jawatankuasa tersebut telus, sudah tentu kerajaan pusat akan memanggil pemimpin kerajaan negeri sebagai wakil untuk membincangkan jalan penyelesaian berhubung isu air itu.

"Apa salahnya Kerajaan Persekutuan memanggil kerajaan negeri untuk berbincang sebelum buat keputusan?" soalnya sambil mendakwa nama-nama yang disebutnya itu mempunyai kepentingan dalam projek Langat 2.

Dakwanya lagi, isu air ini sengaja direka untuk menakut-nakutkan masyarakat di negeri itu.

"Sebenarnya tiada masalah air tetapi hanya rekaan daripada kerajaan Persekutuan," katanya lagi.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam satu kenyataan hari ini berkata semua syarikat termasuk anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang berkelayakan dipelawa menyertai projek Loji Rawatan Air Langat 2 secara tender terbuka, apabila ia diiklankan kelak.

Ia sekaligus menolak tohmahan kononnya bahawa projek Langat 2 bertujuan memastikan kroni Umno-Barisan Nasional mendapat kontrak pembinaan adalah tanpa sebarang asas.
 
 


Ruangan Komen