ISTIMEWA



 Nasional   

'Bonus 1/2 bulan bukan sebab k'jaan tiada peruntukan'

pada 27-07-2012 03:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

SHAH ALAM: Exco Pemuda Umno Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sebagai galakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan sambil menegaskan jumlah yang diberikan itu bukan disebabkan kerajaan pusat kekurangan peruntukan.
 
Selain itu, kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan berita gembira untuk 590,000 pesara kerajaan yang akan menerima Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500.
 
Tegas Sohaimi, pembayaran bonus kepada kedua-dua kumpulan akan diteliti dan dikaji sebelum diumumkan dengan niat meringankan beban rakyat.
 
"Bila ingin mengumumkan sesuatu yang melibatkan peruntukan dan perbelanjaan, sudah tentu perdana menteri diberi maklum oleh kementerian berkenaan atau menteri mengenai status wang yang ada.
 
"Saya fikir tidak timbul isu tidak ada wang dalam negara kerana pemberian bonus bukan satu kewajiban tetapi nilai tambah kepada kakitangan awan yang bekerja," katanya dalam satu temubual bersama AntaraPos.
 
Justeru beliau menegaskan kerajaan pusat pimpinan Najib tidak berdepan dengan masalah kewangan.
 
"Ia bergantung kepada keadaan suasana ketika itu, saya yakin dan percaya bonus ini diberikan setelah mengambil kira keperluan dan kehendak semasa selain sebagai intensif...bukan satu tanggungjawab yang perlu.
 
"Kita pernah tidak ada bonus, tidak diberikan tetapi ia sebagai galakan supaya bonus yang diberikan agar kakitangan awam meningkatkan mutu dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama Nasional) mereka dalam perkhidmatan. Saya tidak nampak ia tidak ada bajet dan sebagainya," katanya.
 
Ini adalah kali ketiga berturut-turut penjawat awam dan pesara mendapat bayaran bonus atau duit raya sempena sambutan Aidilfitri.
 
Sebelum ini Najib berkata imbuhan tersebut bergantung kepada kemampuan kerajaan. Penjawat awam menerima bonus setengah bulan dengan bayaran minimum RM500 dan bayaran itu dibuat pada 9 Ogos ini
 
Sejak 2009 kerajaan pusat memberikan imbuhan kepada kedua-dua kumpulan itu sebelum 1 Syawal. Kali terakhir bayaran bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam adalah pada September dan Disember 2008.
 
 

Ruangan Komen