ISTIMEWA



 Nasional   

Exco: Langat 2 akan paksa rakyat bayar tarif tinggi air

pada 27-07-2012 05:07 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menafikan dakwaan bahawa mereka menolak projek loji air Langat 2 tetapi sebaliknya berkata projek berkenaan tidak mampu menangani masalah kekurangan air di Lembah Kelang.

Selain itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Xavier Jayakumar, dengan siapnya projek itu , rakyat akan terpaksa membayar tarif air yang lebih tinggi.

Jumlah itu, menurut beliau mungkin sehingga tujuh peratus harga tarif sekarang kerana selain kos pembinaan, harga air mentah yang dibawa dari Pahang akan juga dikenakan bayaran.

"Adakah kita sanggup untuk bayar Pahang RM60 juta setiap tahun untuk air mentah?

"Langat ini adalah projek oleh pusat untuk dapatkan air terawat dari Pahang ke Selangor melalui terowong melibatkan kos yang tertinggi, hampir RM 12 billion.

"Walaupun kerajaan pusat yang akan menanggung kos ini tetapi (akhirnya) rakyat Selangor yang akan menanggung harga air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel diskusi Meja Bulat bertajuk 'Isu Air: Realiti atau Politik anjuran portal berita Antarapos, di sini, semalam.

Seorang lagi ahli panel diskusi itu - Timbalan Ketua Pemuda MCA Selangor, Datuk Ching Eu Boon - pula berkata Langat 2 diperlukan kerana penggunaan air di Selangor semakin meningkat setiap hari.

"Kapasiti air sekarang 4350 million liter,  tetapi kalau kita tidak tambah loji penduduk semakin ramai, pengguna semakin bertambah," katanya.

Menurut beliau lagi, isu kekurangan air sekarang menyusahkan rakyat dan sepatutnya perkara itu diselesaikan segera memandangkan krisis air dijangka menjelang 2015.

"Penduduk Selangor semakin bertambah, jadi penggunaan air juga semakin bertambah, peningkatan air setiap tahun adalah 3.5 peratus," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George pula mencadangkan satu audit dijalankan ke atas syarikat konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk menganlpasti sama ada Lembah Kelang benar-benar kekurangan bekalan.

Bagi menamatkan sengketa kerajaan pusat dan negeri, beliau turut mendangkan pendapat dan suara rakyat Selangor diambil kira dalam menentukan pihak yang berhak untuk menyelesaikan masalah air ini.

"Apa yang penting mahukan mengambil kira suara rakyat jika mereka mahu kerajaan Negeri mengambil alih urusan isu air ini atau tidak," katanya.

Sambil membidas SYABAS yang gagal mengeluarkan laporan audit, katanya, syarikat itu juga sering-kali mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

"Untuk audit yang pertama sehingga hari ini tidak ada," katanya.
 


Ruangan Komen