ISTIMEWA



 Nasional   

Exco: Air di Selangor mencukupi, tak perlu Langat 2

pada 27-07-2012 06:07 Ditulis Oleh Ahmad Fadzly Esa

Post Pic

SHAH ALAM: Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar mengulangi pendirian Kerajaan Selangor bahawa tidak akan berlaku krisis air di negeri itu.
 
Beliau menegaskan bahawa projek Langat 2 tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwa oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mengenai krisis air  di negeri itu kerana ia projek kerajaan pusat untuk mendapatkan air terawat daripada Pahang.
 
"Krisis air yang ada sekarang adalah mengenai pengisian dan pengeluaran,  permintaan dan penawaran, (apakah) cukup dengan 33 loji yang ada di dalam negeri dengan tujuh empangan besar mengandungi air terawat, apa permintaan air negeri Selangor dan apa yang telah dibuat dalam tempoh katakan 10 hingga 5 tahun SYABAS untuk mengatasi masalah saluran paip di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diundang menjadi panel diskusi  Meja Bulat yang bertajuk 'Isu Air: Realiti atau Politik anjuran Antarapos di sini  semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah mengeluarkan  kenyataan bahawa tiada krisis air di Selangor.

"Dia (Muhyiddin) sudah menghentikan isu catuan air di Selangor yang dibawa oleh SYABAS, nasihat dia kepada SYABAS hentikan apa-apa yang telah dilontarkan dan buat kerja untuk membekal air kepada semua kawasan," jelasnya.

Selaku wakil kerajaan Selangor, beliau memberitahu telah menyertai pelbagai mesyuarat dan perbincangan bersama pemimpin kerajaan pusat mengenai krisis air di negara ini.

"Dalam perbincangan ini, hujah-hujah mereka (pemimpin) adalah kalau ada krisis air dalam negeri Selangor pada tahun 2015, sebab itu ada (timbul) cadangan Langat 2 dan 2012 terus ada krisis air dalam tempoh tiga (hingga) empat bulan tanpa mengetahui dari mana datang pengiraannya," ujarnya.
 
Bagaimanapun, pandangan Dr Xavier yang menyatakan isu air di Selangor tidak akan berlaku disangkal oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA Selangor, Datuk Ching Eu Boon pada sesi meja bulat itu.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan, setiap tahun, penduduk di Selangor semakin bertambah bersamaan dengan purata peningkatan penggunaan air sebanyak 3.5 peratus.

Jelasnya, selain itu, terdapat satu perjanjian antara Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan kerajaan negeri secara bertulis menyentuh kapasiti air.

"Kajian saya pada tahun 2005 dalam perjanjian syarikat(SYABAS) memberitau kerajaan negeri dalam bentuk bertulis apabila kapasiti air diperlukan.

"Bila (air) semakin bertambah maka loji air kena ditambah, mengapa kata kurang, bila surat ini sampai tahun 2008 (kerajaan negeri) dah janji nak buat dan diluluskan, apa yang paling penting sepatutnya benda ini boleh digerakkan," ujarnya.

Ching berkata, dalam usaha mengatasi krisis air di Selangor perkara paling penting  perlu dipersoalkan sama ada pembinaan pusat rawatan air mencukupi di negeri ini.

"Apa paling penting pusat rawatan air, bila saya dah kaji habis-habis, ramai orang marah SYABAS (sebab) jual air, tetapi dia (SYABAS) tidak ada air, kita nak tanya di mana cukup atau tidak 34 buah Water Treatment Plant ( WTP) atau Pusat Rawatan Air, cukup atau tidak, itu paling penting soalan yang hendak ditanya," soalnya.

"(Sebanyak) 34 WTP hanya boleh memproses 4,326 juta liter sehari, jangka masa sekarang ini penggunaan kita seharian 4,142 bilion liter sehari, bila keadaan begini apa yang kita nampak tahun 2005 mereka cadangkan supaya satu loji Langat 2 dinaikkan kerana (tampung) 1,100 juta liter sehari, maka bila ditambah, air di Selangor boleh pakai(mencukupi) sampai tahun 2019," jelasnya.
 


Ruangan Komen