ISTIMEWA



 Nasional   

Gobala didenda RM5,000 halang tugas penjawat awam

pada 27-07-2012 06:07 

Post Pic

BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan hari ini didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menghalang tugas penjawat awam pada 2009.

Majistret Mohd Azhar Hamzah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap fakta kes serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Azhar berkata hukuman yang dikenakan terhadap Gobalakrishnan perlu dijadikan pengajaran oleh tertuduh serta orang ramai.

Gobalakrishnan didakwa menggunakan kekerasan menghalang Sub Inspektor M Karunamuthi daripada menjalankan tugasnya di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini pada 11 pagi 17 Ogos 2009.

Dia dikatakan mengingkari arahan polis dengan menggunakan alat pembesar suara serta melaungkan kata-kata berunsur provokasi termasuk menghambur kata-kata kesat terhadap polis.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda.

Selain itu, katanya, Gobalakrishnan juga mempunyai rekod kesalahan sama dan dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown pada 2010.

Sementara itu, Gobalakrishnan yang ditemui di luar mahkamah berkata beliau akan mengemukakan rayuan bagi mengenepikan hukuman itu yang akan difailkan oleh peguamnya, Saiful Ambar Abdullah Ambar hari ini.

Ahli Parlimen bebas itu yang mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal tahun lalu juga berkata beliau akan terus berkhidmat untuk pengundi Padang Serai melalui PEKEMAS, sebuah badan bukan kerajaan.


Ruangan Komen