ISTIMEWA



 Nasional   

Umno Cheras desak MT pecat Lajim Ukin

pada 27-07-2012 06:07 

Post Pic

SHAH ALAM: Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mahu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Lajim Ukin melepaskan jawatanya dan berundur sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, Lajim yang juga ahli parlimen Beaufort  kini dianggap sebagai  "gunting dalam lipatan" dan sengaja menggunakan kemudahan di pejabat timbalan menteri untuk meneruskan siri kempen politik beliau untuk menjatuhkan BN di Sabah.

“Jika berhasrat untuk terus khianati parti, rasanya lebih bermaruah jika Lajim segera meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri.

“Tidak ada guna jadi ahli MT jika perbuatannya dilihat seperti menikam parti daripada belakang,” tulis Syed Ali di blognya.

Syed Ali berkata, tindak-tanduk Lajim sejak akhir-akhir ini akan menjejaskan parti dan beliau akan dituduh sebagai pengkhianat.

“Cara terbaik jika dia pemimpin bermoral adalah letak jawatan sebagai timbalan menteri  dengan serta-merta jika sahih akan masuk pembangkang,” katanya.

Menurut beliau lagi, MT Umno juga perlu mengambil tindakan segera terhadap Lajim tanpa perlu menunggu masa yang agak lama jika sahih ada laporan mendakwa dia sekarang ini bersekongkol dengan pembangkang.

"Jika jelas Lajim bersama pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim, maka pucuk pimpinan parti perlu segera bertindak terhadap beliau."

Katanya, ‘permainan licik’ Lajim ini seolah-olah beliau mahu dirinya dipujuk atau dirayu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib supaya tidak keluar daripada Umno.

“Sebenarnya, kita tidak ada masa untuk melayan orang seperti ini, saya fikir Najib pun tidak akan memujuk beliau,” katanya lagi.


Ruangan Komen