Array


 Nasional   

OIC digesa perkasa peranan tangani ancaman pengganas

pada 23-01-2018 08:01 

Post Pic

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa negara Islam dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperkasakan peranan dalam menangani ancaman pengganas, termasuk isu serangan bom peluru berpandu oleh militan Houthi ke Riyadh dan Makkah.
 
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata OIC ada pengaruh kuat dan potensi untuk membentuk masa depan cerah bagi umat Islam serta kesatuan ummah secara menyeluruh.
 
Beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, jika gagal berbuat demikian, mereka bukan sahaja perlu memberi penjelasan kepada generasi umat Islam akan datang tetapi juga menjawab kepada Allah SWT.
 
"Kita mesti mengetepikan perbezaan dan mencari jalan untuk perpaduan, bukannya terus menyakiti serta mengkritik antara satu sama lain.
 
"Kita mesti menamatkan keganasan dan perpecahan kini. Kita mesti 'menyembuhkan' tanah kita. Kita harus memperbaiki kesalahan sedia ada.
 
"Seperti yang kita (anggota) OIC berkumpul di Jeddah, hari ini 21 Januari (semalam), kita mesti membentuk satu perpaduan lebih utuh kerana masa depan (negara Islam) dalam tangan kita," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di Jeddah, semalam.
 
Hishammuddin menghadiri mesyuarat tergempar OIC di Arab Saudi, semalam, bagi membincangkan isu serangan Yaman ke atas negara itu.
 
Mesyuarat yang dihadiri semua negara anggota OIC itu diadakan di Jeddah.
 
Hishammuddin berkata, Malaysia melihat serangan ke Riyadh dan Makkah bukan sahaja melanggar kedaulatan kerajaan Arab Saudi, malah disifatkan sebagai ancaman terhadap keamanan di rantau Asia serta seluruh dunia.
 
Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk negara lain tidak menyalurkan bantuan peluru berpandu balistik kepada golongan militan Houthi di Yaman yang memecahkan perpaduan golongan Islam.
 
"Malaysia berdiri teguh bersolidariti dengan kerajaan Arab Saudi. Sebarang perancangan mengancam rantau ini hanya akan menyebabkan perpecahan ummah yang lebih besar.
 
"Sehubungan itu, Malaysia berdiri teguh dalam menegakkan keamanan rantau ini, dan kedua-dua Kota Suci Makkah serta Madinah," katanya.
 



Ruangan Komen