Array


 Nasional   

Permohonan undi pos luar negara dibuka hari ini

pada 23-01-2018 08:01 

Post Pic

 
PUTRAJAYA: Permohonan undi pos luar negara bagi warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dibuka hari ini.
 
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata untuk memohon kemudahan itu, warganegara Malaysia yang berada di luar negara hendaklah memenuhi syarat seperti individu itu mesti pemilih berdaftar dalam kategori Pengundi Biasa atau bukan Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
 
"Syarat lain ialah pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.
 
"Menetap di luar negara kecuali bagi mereka yang tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia tidak layak diberikan kemudahan untuk mengundi melalui pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian dijalankan," katanya dalam kenyataan.
 
Katanya, permohonan mestilah menggunakan Borang 1B - Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara).
 
Beliau berkata, SPR sudah memuat naik Borang 1B di laman sesawang SPR di www.spr.gov.my dan garis panduan untuk mengisi borang berkenaan juga boleh dimuat turun dari laman sesawang SPR.
 
Katanya, permohonan melalui borang 1B yang diisi lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya melalui emel kepada upup@spr.gov.my atau faks ke 03-8881 0424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369.
 
Mohd Hashim berkata, borang juga boleh dihantar melalui pos ke alamat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Menara SPR, No 2 Jalan P2T, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya. (u.p. Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara).
 
Beliau berkata, permohonan mengundi melalui pos dari luar negara ditutup pada hari pembubaran Dewan Rakyat.
 
Katanya, setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan status permohonan.
 
"Bagaimanapun, warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai PTH di luar negara ialah pengundi pos dan oleh itu tidak perlu memohon.
 
"SPR juga ingin menasihatkan kepada semua warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai PTH Luar Negara untuk mengemas kini alamat terkini di luar negara melalui Sistem Aduan dan Pertanyaan SPR di portal rasmi SPR.
 
"Permohonan kemas kini alamat terkini di luar negara hendaklah dilampirkan (dimuat naik) dengan salinan pasport sebagai pengesahan pengenalan diri oleh pemohon," katanya.
 
Untuk PRU14, katanya, penghantaran undi pos akan diuruskan oleh POS Malaysia Berhad dan tidak lagi melalui Kementerian Luar Negeri.
 
Katanya, orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dengan menghubungi talian 03-88810081 atau emel ke upup@spr.gov.my.
 



Ruangan Komen