ISTIMEWA



 Nasional   

PAS Perlis alu-alukan Dr Asri jadi calon

pada 13-07-2012 05:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 

SHAH ALAM: PAS Perlis mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk bertanding atas tiket parti itu sekiranya ia diterima pucuk pimpinan.

Namun menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Anuar Tahir, setakat ini pihaknya tidak pernah membincangkan perkara tersebut sambil menyifatkan penyertaan Dr Asri sebagai khabar angin.

"Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang dipilih (pucuk pimpinan) dan bagi mereka yang mempunyai pegangan Islam dan mendokong idealogi perjuangan PAS sudah tentu akan disokong oleh ahli-ahli.

"Kalau pucuk pimpinan rasakan sesuai untuk bertanding kita akan sokong tetapi setakat ini kita belum pernah bincang tentang Dr Asri," katanya kepada AntaraPos.

Jelas beliau, PAS Perlis bersedia untuk membenarkan Dr Asri bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Kita mengalu-alukan (penyertaan Dr Asri), beliau seorang yang mempunyai pegangan Islam, berkelayakan tinggi dan pernah berkhidmat untuk kerajaan.

"Tapi setakat ini mungkin ia khabar angin, mungkin juga dikatakan di peringkat pusat...itu saya tidak pasti, apa-apa pun kita mengalu-alukan," katanya.

Khabar angin bahawa Dr Asri, bekas Mufti Perlis hangat diperkatakan di laman sosial namun sehingga kini belum mendapat pengesahan mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, mengenai pembahagian kerusi, Mohd Anuar berkata ia belum dimuktamadkan di peringkat Pakatan Rakyat (PR).

Beliau turut mengesahkan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din akan bertanding pada PRU13 dalam usaha menawan Perlis dari tangan Barisan Nasional (BN).

"Datuk Haron Din dijangka akan bertanding kerana beliau adalah ikon rakyat Perlis, ikon ulama dan antara ulama terbaik negara.

"Lagipun beliau hanya kalah tipis pada pilihan raya umum lepas dan saya rasa dengan kebangkitan rakyat, insya-Allah beliau akan menang," katanya.


Ruangan Komen