ISTIMEWA



 Nasional   

Himpunan Oren hanya gimik politik, kata MBFM

pada 13-07-2012 07:07 Ditulis Oleh Siti Sofia Md Nasir

Post Pic

 

SHAH ALAM: Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd Manaf menyifatkan Himpunan Oren esok sebagai satu gimik bagi menggambarkan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengurus tadbir Felda.

Beliau berkata, tindakan kumpulan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) yang mahu berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum bantahan penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) akan memberi kesan negatif kepada negara.

"Mereka melakukan perkara-perkara ini sebagai gimik saja seolah-olah untuk menunjukkan ramai sangat yang tidak suka dengan apa yang PM buat walhal apa yang diberi semua benda baik.

"Kita tidak mahu jadi seperti BERSIH 3.0 yang akhirnya memberi kesan yang negatif, bukan saja kepada isu yang hendak dibawa tapi kesan negatif turut memberi tamparan yang tidak baik kepada negara," katanya ketika dihubungi AntaraPos.

Anuar turut yakin majoriti peserta himpunan tersebut bukan terdiri daripada warga Felda seperti yang digembar-gemburkan beberapa pihak.

"Tidak pure (asli).. Bukan semua orang Felda. Ada segelintir mungkin yang masih tidak puas hati dan terpengaruh dengan hasutan tapi tidak ramai. Saya jamin," katanya lagi.

Himpunan Oren yang dianjurkan oleh Gerakan Selamatkan Felda (GSF) akan bermula di Masjid Wilayah Persekutuan seterusnya berarak menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agung berkenaan bantahan penyenaraian FGVH.

Himpunan tersebut akan diketuai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan menjangkakan seramai 20 ribu orang akan menyertainya.

Pemimpin Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan tokoh seperti Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said juga dijangka akan menyertai himpunan yang akan bermula jam 2 petang itu.


Ruangan Komen