ISTIMEWA



 Nasional   

Tinjauan: Rakyat khuatir 'Himpunan Oren' disalah guna

pada 13-07-2012 08:07 Ditulis Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

 

KUALA LUMPUR: Himpunan Oren yang dijangka berlangsung esok bukan platform yang sesuai untuk menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan menyenaraikan Felda Global Venture Holdings (FGVH).

Tinjauan AntaraPos mendapati, rata-rata khuatir perhimpunan anjuran kumpulan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) itu akan disalah guna selain memberi kesan terutama golongan peniaga di kawasan berhampiran tapak perarakan.     

Bagi Badrul Hisham Baisudin, perhimpunan seperti ini umpama tidak menghargai usaha kerajaan yang membela nasib rakyat selama ini.   

"Tak perlu diadakan...kerana kita dah tengok macam-macam program yang kerajaan dah buat. Semuanya ada asas dan tujuan yang bertepatan untuk semua pihak," katanya.

Pendapat beliau turut disokong oleh Sri Amriyani Arman yang juga seorang peniaga.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekecohan bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan gangguan kepada orang awam, peniaga, termasuk pengguna jalan raya.   

"Harap-harap tidak jadi macam tu (BERSIH 3.0) esok. Kerana menyusahkan kita yang berniaga, mereka ni pula buat hujung minggu...pendapatan kami masa itulah (untung) kerana ramai berbelanja...tambahan pula nak puasa," katanya.

Manakala bagi peniaga, Zamanhuri Haji Nasir pula berpendapat perhimpunan esok tidak salah kerana setiap rakyat berhak meluahkan pendapat, namun harus berpandukan lunas undang-undang yang telah ditetapkan.     

"Tapi kena ikut undang-undang lah. kalau pihak berkuasa tak bagi kebenaran berhimpun, terpaksa terima lah kerana mereka yang kuatkuasakan undang-undang, bimbang nanti ada kekacauan, rusuhan dan sebagainya. Tapi berharap semuanya elok lah..," katanya.

Begitu juga pendapat yang diutarakan Nasmudin Masron yang mengatakan perhimpunan tersebut tidak salah sekiranya para demonstran memengang janji untuk berhimpun secara aman.   

"Sepatutnya mereka ini ikut saluran yang betullah.. tapi kalau buat secara aman tidak mengapa. Kalau ikut undang-undang, tak salah la.. kalau berkumpul secara aman, tiada huru-hara tidak mengapa lah," katanya.

Terdahulu, beberapa laporan polis telah dibuat bagi membantah himpunan tersebut, antaranya oleh Badan Generasi Prihatin 3R 1Malaysia, dan Pengurusan FELDA dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Tanah Rancangan (JKKR) FELDA dari lapan tanah rancangan FELDA Wilayah Jengka.  

Difahamkan, kumpulan tersebut akan berarak ke Istana Negara bermula jam 2 petang untuk menyerahkan memorandum bantahan serta diberi kebenaran oleh pihak polis untuk menggunakan Jalan Sri Hartamas, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.


Ruangan Komen