ISTIMEWA



 Nasional   

Senarai calon PKR bagi DUN Perak hampir muktamad

pada 17-07-2012 03:07 Ditulis Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

Post Pic

PUTRAJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan senarai nama calon yang telah dimuktamadkan akan diserahkan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Sumber dalaman yang menghubungi AntaraPos berkata 20 nama itu terdiri daripada muka lama dan baru yang akan dikemukakan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

"Ada muka-muka lama... dan ada muka-muka baru... buat masa ini, 20 orang telah disenaraikan pendekkan...

"Semua mereka dilihat berkaliber dan memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan PKR di peringkat DUN Perak," katanya.

Nama yang dibekalkan itu adalah seperti berikut:

Changkat Jering (Dr Muhd Nor Manuty), Pengkalan Hulu (Abdullah Masnan),  Temenggor (Suppian), Kenering (Termizi), Kota Tampan(Shaharuddin), Batu Kurau (Fadhil Alias), Kuala Kurau (Abdul Yunus Jamhari), Alor Pongsu (Zulkifly Ibrahim), Kuala Sapetang (Sandra Ng) Hulu Kinta(Tinagaran).

Bukit Chandan (Tun Ali Tun Hamzah), Bota (Fathmawaty Salim), Tualang Sekah (Anuar Zakaria), Simpang Pulai (Tan Kar Heng), Teja (Chang Lih Kang), Chenderiang (masih dalam rundingan dengan DAP) , Sungai Manik (Osman Abdul Rahman) , Pangkor (Khairil Azhar), Hutan Melintang(S Kasevan) dan Behrang (Mustaffa Kamil Ayub).

Pada pilihan raya umum 2008, PKR juga bertanding di 20 kerusi tetapi hanya menang di tujuh kerusi. Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan negeri setelah memenangi 32 daripada 59 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin tumbang apabila tiga wakil rakyat pakatan, termasuk dua dari PKR berpaling tadah dan menyokong BN.

Menurut sumber itu lagi, pemilihan kali ini menekankan beberapa aspek penting bagi  memastikan setiap calon adalah 'bersih' dan juga  tidak mempunyai masalah kesihatan mahupun akan diisytihar bankrap.

"PKR Perak amat teliti dalam memilih calon, kriteria pemilihan berasaskan ciri-ciri seperti disenangi rakyat, tidak muflis dan bermasalah serta juga mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan," katanya lagi.

Pada pilihan raya lalu, selain PKR yang bertanding di 20 kerusi , PAS dan DAP masing-masing mengemukakan calon masing-masing di 21 dan 18 kerusi. DAP memengi semua kerusi yang ditandinginya.
 


Ruangan Komen