ISTIMEWA



 Nasional   

Tema Hari Kemerdekaan: Elemen kepartian menebal, kata PKR

pada 18-07-2012 04:07 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

 

SHAH ALAM: Elemen kepartian yang menebal adalah faktor kerajaan Persekutuan memilih "55 Tahun, Janji Ditepati" sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini, menurut Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jelas beliau, sambutan yang sepatutnya meraikan semangat patriotik cintakan negara kini terpaksa dibahagikan mengikut prinsip politik parti tertentu sekaligus menghakis kesepaduan rakyat di negara ini secara halus.

"Ingin memecah belahkan rakyat, bagi saya. Seolah-olah kami (Pakatan Rakyat) tidak meraikan Hari Kemerdekaan.

"Tindakan ini menampakkan bahawa BN menggunakan Hari Kemerdekaan sebagai senjata politik mereka untuk meraih undi untuk menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja," kata beliau ketika dihubungi AntaraPos.

Perdana Menteri sebelum ini mengajak rakyat memperhalusi usaha Umno-Barisan Nasional (BN) membangunkan negera sepanjang tempoh 55 tahun kemerdekaan tanah air.
 
"Kita hanya dapat lihat janji-janji yang dibuat oleh Barisan telah dilaksanakan sepanjang 55 tahun dahulu. Bukan sehari atau dua," kata Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri program Jelajah Janji Ditepati di Selangor, baru-baru ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam masa yang sama menasihati rakyat agar mengenepikan perbezaan politik dan menjayakan sambutan Kemerdekaan itu nanti.


Ruangan Komen