ISTIMEWA



 Nasional   

Khalid MB Selangor paling berkaliber, kata Anwar

pada 19-07-2012 10:07 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 
SHAH ALAM: Di sebalik dakwaan penyelewengan yang berlaku di Selangor, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) itu sambil menegaskan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyelamatkan negeri yang menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
 
Pada pilihan raya umum 2008, Selangor ditawan PR dan negeri itu sering kali menjadi tumpuan dan pendebatan pemimpin politik tanah air.
 
"Menteri Besar Khalid menteri paling berkaliber, perintah Selangor...urus ekonomi empat tahun berturut-turut, tanah beribu-ribu ekar bagi kepada Talam Corporation, premium tanah tak perlu bayar, geran tanah dapat.
 
"Tanah nak lelong di bank, Khalid nak selamatkan hutang RM400 juta untuk ambil balik. Nak selamatkan kamu, kata dia jahat. Yang jual tanah kamu lupa...ini zaman edan," kata Anwar pada  pada ceramah Merdeka Rakyat di Jalan Kebun anjuran Parlimen Kota Raja di sini malam tadi.
 
Selangor pimpinan Khalid dihimpit tekanan ekoran pendedahan penyelewengan oleh Pemuda MCA berhubung isu penstrukturan hutang Talam Corporation membabitkan RM1 bilion.
 
Pemuda MCA turut mencabar kerajaan negeri Selangor mendedahkan dokumen perjanjian bernilai RM1 billion mambabitkan Talam Corporation dan kerajaan negeri.
 
Namun Khalid enggan menjawab dakwaan itu walaupun diminta PAS agar menjawabnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
 
Ahli Jawantakuasa Kerja PAS Pusat Dr DZulkefly Ahmad sebelum ini menggesa Khalid untuk mengemukakan kertas putih terhadap isu itu untuk menjawab tuduhan bahawa kerajaan negeri menyeleweng RM1 bilion.
 
Dr Zulkefly sebelum ini berkata kerajaan negeri telah berjanji untuk mengemukakan kertas putih mengenai hutang Talam pada tahun 2010 dan menggesa Menteri Besar berbuat demikian.
 
“Jadi kertas putih ini adalah sangat diperlukan untuk menjelaskan kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dan Exco kerajaan negeri dalam menangani perkara ini. Sekaligus melenyapkan dakwaan kononnya ada skandal di sana.
 
“Meskipun kertas putih ini sudah terlambat dibentangkan dan saya masih ingat ia sepatutnya dibentangkan pada tahun 2010,” katanya.

Ruangan Komen