ISTIMEWA



 Nasional   

Krisis air: Sokongan BN tidak terjejas di Selangor

pada 19-07-2012 04:07 Ditulis Oleh Nur Atiqah Abdul Samad

Post Pic

 

SHAH ALAM: Umno-Barisan Nasional (BN) menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan parti itu sengaja mempolitikkan isu air di Lembah Klang sebagai cubaan untuk meraih undi dan menawan semula negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed sebaliknya berkata, pendedahan krisis air yang melanda penduduk di kawasan itu adalah sebahagian daripada kesan keenganan kerajaan negeri untuk meneruskan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Beliau turut menyifatkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat kurang prihatin terhadap keperitan yang bakal dialami penduduk sekiranya masalah tersebut tidak diselesaikan dengan segera.

"Punca masalah air ini bermula daripada kerajaan negeri yang tidak hendak beri kerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk Projek Loji Rawatan  Air Langat 2 bagi menyelesaikan isu air terawat dalam jangka masa pendek dan panjang. Kenapa hendak salahkan BN dan kerajaan Persekutuan?

"Dia (kerajaan negeri) faham ke apa punca masalah ini, siapa yang bertanggungjawab kepada Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor), siapa yang kendalikan operasi Syabas?

"Secara umumnya rakyat tahu semuanya ini di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sudah bersedia hendak bangunkan projek Langat 2 (tetapi) kerajaan negeri yang tidak benarkan perkara ini jadi apa kena mengena BN cuba politikkan masalah ini? Ini masalah rakyat," katanya ketika dihubungi.

Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang mempertikaikan sikap lepas tangan kerajaan negeri yang enggan bertanggungjawab terhadap Syabas tetapi sebaliknya menuduh Umno-BN memperalatkan syarikat konsesi air itu.

Ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri yang mahu mengambil alih Syabas, beliau menasihatkan supaya kerajaan negeri mematuhi prosedur dan mengikut undang-undang sedia ada.

Dalam perkembangan yang sama, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Ismail Sualman turut menyifatkan kerajaan negeri yang dilihat lebih banyak bermain tarik tali dalam isu Projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang enggan diluluskan mereka.

"Saya rasa isu ini yang dipolitikkan oleh kerajaan negeri sebab fakta menunjukkan bahawa air yang dirawat bukan air mentah di dalam simpanan Syabas memang berkurangan dan semakin meruncing.

“Malah dijangkakan jika tidak buat projek Langat 2 atau empangan baru, ada kemungkinan Lembah Klang ini pada 2013 - 2014 sudah semakin kekurangan air. Jadi isunya bukan soal Umno-BN menang atau tidak, mereka memperjuangkan hak untuk mendapat perkhidmatan air yang baik," katanya.

Beliau selain itu turut tidak bersetuju jika pembangkang terus menerus menuduh Syabas menjadi alat tunggangan kerajaan Umno-BN.

"Kalau dituduh Syabas menjadi kuda tunggangan, saya rasa ini tidak benar kerana yang menjadi masalah ketika ini kita memperjuangkan hak dan juga fakta jadi kenapa pula kerajaan negeri tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk uruskan air terawat," ujarnya lagi.

Beliau turut menyifatkan perkara itu tidak akan menjejaskan peluang BN untuk merampas Selangor sebaliknya menambah, pihak yang perlu khuatir adalah kerajaan negeri sendiri apabila rakyat kini melihat kapasiti mereka menangani perkara ini.

Terdahulu Syabas dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (Abbas) telah mengeluarkan laporan bahawa Selangor sedang mengalami masalah kekurangan air terawat dan bukan air mentah namun kerajaan negeri terus meragui.

Ismail turut menyindir kerajaan negeri mempunyai seorang penasihat ekonomi yang bagus namun tiada tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah tersebut di masa hadapan.

Minggu lalu, Syabas mengumumkan mahu melaksanakan catuan air di sekitar Lembah Klang.

Sebagai tindak balas, Khalid mengumumkan kerajaan negeri akan  mengambil alih pentadbiran Syabas kerana ragu dengan keputusan mahu melaksanakan catuan air, walhal air tadahan empangan didakwa masih banyak.


Ruangan Komen