ISTIMEWA



 Nasional   

Jais nafi campur tangan politik dalam lantik ajk masjid

pada 19-07-2012 05:07 

Post Pic

 

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menafikan dakwaan bahawa pelantikan jawatankuasa masjid tidak telus dan dibuat berdasarkan campur tangan politik oleh pihak tertentu.

Ketua Pengarahnya Datuk Marzuki Hussin berkata pelantikan jawatankuasa masjid di Selangor menumpukan kepada kredibiliti calon sebelum ia dipertimbang dan dilulus oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

"Jangan ingat bila calon itu dipilih dan mendapat undian majoriti dari kalangan ahli masjid untuk jadi imam atau nazir, mereka akan dilantik...itu tidak betul.

"Sebelum dilantik, pihak Mais akan meneliti nama-nama berkenaan dan mereka ini akan ditapis. Jika rekod calon itu bersih dan memenuhi kriteria untuk memegang jawatan berkaitan, baru kita akan keluarkan surat lantikan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada kakitangan Jais di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai tiga badan bukan kerajaan (NGO) dan anggota dua masjid di Selangor yang menyerahkan memorandum bantahan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam kerana mendakwa wujud campur tangan politik dalam pelantikan jawatankuasa masjid di negeri itu.

Kumpulan itu mendakwa wujud sikap tidak telus dalam perlantikan jawatankuasa masjis dan meminta Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri bagi menyelesaikan perkara itu.

Diminta mengulas dakwaan terdapat dua imam iaitu daripada PAS dan Umno yang mengerjakan solat berjemaah secara berasingan di Masjid Batu 3 di sini, Marzuki berkata sehingga kini, pihaknya tidak mendapat maklumat berhubung perkara itu.

"Sehingga kini, tiada laporan yang diterima berhubung perkara itu, namun jika terdapat laporan, kita akan panggil kedua-dua imam ini sebelum mengambil apa-apa tindakan.

"Masjid adalah tempat menyatukan umat Islam dan umat Islam tidak seharusnya berpecah hanya kerana berlainan fahaman politik, jika ini berlaku bagaimana kita mahu memartabatkan agama Islam," tegasnya.


Ruangan Komen