ISTIMEWA



 Nasional   

Penggunaan dakwat kekal mandatori - SPR

pada 19-07-2012 05:07 Ditulis Oleh Ahmad Fadzly Esa

Post Pic

 

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan keputusan menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) adalah mandatori.

Justeru beliau mengingatkan agar keputusan tersebut tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Diantara yang akan dilaksanakan dalam PRU13 nanti, keputusan telah dibuat, undang-undang telah dipinda dan sebagainya, pertama berkenaan penggunaan dakwat kekal akan dilaksanakan.

"Janganlah diperkatakan pula dengan sejarah yang lama SPR bila dah dekat pilihan raya esok akan batalkan penggunaannya. Sebagai Pengerusi di sini, saya memberi jaminan dakwat kekal akan digunakan dalam PRU13 dan penggunaannya adalah mandatori dan bukannya pilihan," katanya ketika berucap dalam ucaptama di majlis Perjumpaan SPR bersama Pemimpin Parti Politik dan Taklimat Pilihan Raya Umum Ke - 13 di sini, hari ini.

Justeru itu, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar akan memberikan taklimat kepada pemimpin parti politik berhubung persediaan PRU13 serta akan melihat demonstrasi penggunaan dakwat kekal ini.

Jadi selepas Datuk Wira Wan memberi taklimat dan (kita) akan melihat demonstrasi ini. Jangalah persoalkan tentang dakwat ini haram ataupun dakwat ini tidak kekal dan sebagainya, Insyallah.

Tambahnya lagi, tiga kumpulan telah memberi jaminan tentang penggunaan dakwat kekal ini iaitu pertamanya daripada Jabatan Kimia menyatakan bahawa kandungan bahan digunakan dalam dakwat kekal itu adalah herba dan ia tidak melibatkan bahan kimia dan halal.

Tapi tak boleh minumlah dakwat itu, kalau minum saya tak tahu apa akan jadi, dia (dakwat) halal dan tidak mengganggu kalau umat islam mengambil wudhu," ujarnya secara seloroh.

Selain itu, Abdul Aziz memberitahu bahawa badan bebas pilihan raya itu turut merujuk dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan sekiranya dakwat kekal ini boleh mendatangkan apa-apa penyakit.

"Jabatan Kesihatan kata tidak ada (penyakit) kecualilah ada pengundi yang alergik dakwat, yang itu kena bagitau kitalah, manalah tahu ada orang tak boleh celup dakwat, letak sikit sahaja tangan dia berkudis, bernanah dan sebagainya.

"Dan yang penting sekali adalah Majlis Fatwa telah mempersetujui (dan) menyatakan penggunaan (dakwat kekal) ini harus," jelasnya.

Antara tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk reformasi proses pilihan raya termasuk penggunaan dakwat kekal yang dilihat mampu mengelakkan penipuan pada hari mengundi.

Justeru SPR komited untuk melakukan penambahbaikan demi kepentingan semua pihak.


Ruangan Komen