ISTIMEWA



 Nasional   

Kerajaan BN komited pulih kehidupan rakyat P. Pinang

pada 19-07-2012 06:07 Ditulis Oleh Wartawan AntaraPos

Post Pic

 

GEORGETOWN: Penduduk di kawasan Bukit Ngoh Hean, Mukim 4, Batu Itam di sini bakal menarik nafas lega apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang dilaksanakan, akan siap akhir Ogos ini.

Menurut Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Bendera Hng Chee Wey, projek yang bernilai RM7.25 juta itu ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang komited menaiktaraf kehidupan rakyat walaupun di negeri pembangkang.

“Walaupun negeri ini ditadbir oleh pembangkang namun kerajaan Persekutuan sekali lagi membuktikan tidak pernah mengabaikan rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan perkembangan projek berkenaan.

Menurutnya, projek berkenaan menelan kos yang amat tinggi disebabkan kedudukan rumah yang sangat jauh antara satu sama lain iaitu di kawasan lereng bukit selain jalan masuk yang sempit.

Kata Hng, keluarga kampung berkenaan sebelum ini hanya menggunakan ‘generator‘ sebagai alternatif bekalan elektrik.

Turut hadir, Pengurus Besar TNB Negeri Pulau Pinang, Mohandass S Nair.

Mohandass berkata, TNB telah siap membina tiga pencawang elektrik baru di sepanjang laluan dan menaik taraf satu pencawang sedia ada di kawasan Perbadanan Bekalan Air, Air Itam.

“Sehingga kini semua 410 tiang untuk voltan tinggi 11 kiloVolt dan 540 tiang dari 580 tiang untuk voltan rendah 230 Volt ke rumah-rumah telah siap dipasang.

“Projek dijangka siap sepenuhnya dan bekalan dapat diberi kepada kesemua 37 buah rumah pada 31 Ogos akan datang,” katanya lagi.


Ruangan Komen