ISTIMEWA



 Nasional   

Ulama: Politik persepsi adalah 'politik ala syaitan'

pada 19-07-2012 08:07 Ditulis Oleh Aidil Syukri Hamzah

Post Pic

 

SHAH ALAM: Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya menegaskan cara sesetengah parti politik mempromosikan politik persepsi merupakan satu tindakan ‘politik ala syaitan’ yang tidak wajar diteruskan.

Menggariskan ciri-ciri pemimpin yang harus ditolak oleh anak muda menjelang Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang, Fathul mendakwa politik persepsi adalah satu amalan yang dimulakan oleh iblis ketika menghasut Nabi Adam dan isterinya Hawa sehingga dibuang daripada syurga dan dicampakkan ke bumi.

Beliau berkata demikian di dalam debat ‘PRU 13: Orang Muda Pilih Siapa?’ anjuran akhbar Sinar Harian hari ini.

“Pemimpin yang harus ditolak oleh anak muda ialah pemimpin yang seringkali menimbulkan suasana atau propaganda persepsi yang melontarkan pelbagai persepsi agar orang salah faham pada manusia lain.

“Jika sekiranya kita melontar persepsi yang menyebabkan berlakunya fitnah, ia dilarang di dalam Islam. Tidaklah masuk syurga orang yang melaga-lagakan sesama manusia,” katanya.

Menurutnya lagi, antara ciri-ciri lain pemimpin yang patut ditolak oleh golongan muda adalah pemimpin yang seringkali menimbulkan huru-hara dan kacau-bilau.

Selain itu Fathul turut membangkitkan isu mengenai kecenderungan anak muda masa kini yang terlalu bergantung kepada media sosial, sesuatu yang menurutnya perlu dikawal.

“Apabila anak muda memiliki kuasa media sosial untuk sebarkan pandangan dan pendapat, mereka berhadapan dengan pemimpin yang menyebarkan propaganda persepsi di mana pandangan ini yang berlaku adakalanya tanpa fakta.

“Ini menyebabkan pertempuran di alam siber. Cacian, makian perkara-perkara mengaibkan pemimpin, dibongkar keaiban, adakah ini anak muda inginkan?

“Kita inginkan politik bersih, kita benci politik mengajar orang membenci orang lain,” katanya.

Kata Fathul, daripada bertindak mengaibkan sesetengah pemimpin, masyarakat seharusnya mendoakan kebaikan terhadap pemimpin tersebut supaya diberikan hidayah dari Allah.

“Sewajarnya kita berdoa kebaikan pemimpin, memberikannya hidayah dari Allah. Kita perlu berusaha mendoakan kebaikan untuk pemimpin. Itu sikap anak muda yang perlu ditadbir urus,” katanya.


Ruangan Komen