ISTIMEWA



 Komentar   

Siapa memerlukan siapa? Parti politik atau artis?

pada 24-07-2012 06:07 Ditulis Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

[ULASAN] Perihal parti-parti politik menggunakan artis bukan gejala baru. Artis ada cara tersendiri untuk merangsang semangat juang soldadu di barisan hadapan. Kedudukan mereka sebagai ikon bagi sesetengah kelompok masyarakat boleh mempromosi sesebuah parti dan ideologi mereka.

Lantas bila politik Malaysia memasuki pusingan baru dalam usaha memenangi hati rakyat, fungsi artis untuk membantu meraih undi bukanlah sesuatu yang janggal. Bagaimanapun penumpuan yang diberikan kepada golongan seni oleh parti politik tertentu kali ini terasa sedikit ganjil.

Jika Umno dan Barisan Nasional (BN) menyusuri strategi ini, ia mudah difahami. Begitu juga PKR. Kedua-duanya boleh disifatkan sekular. Ideologi kedua-duanya ialah hak asasi dan keterbukaan. Namun apabila PAS yang mutakhir ini ligat meletakkan artis di barisan hadapan kempennya, ia terasa sedikit luar biasa.

Seperti lazimnya, sikap yang diambil oleh PAS ialah ia  sentiasa menerima sesiapa sahaja yang ingin membantu perjuangannya, termasuk artis. Oleh itu, tidak perlu ada mana-mana pihak cuba mempertikaikan caranya berpolitik.

Senada itu, walau sudah acapkali DAP menegaskan tidak menyokong PAS menjadikan agama sebagai tonggak pemerintahan (jika menang kelak), ia tidak menjadi kudis bagi PAS. Ini kerana menurut lojik pragmatisme politik PAS, jika DAP boleh membantu memenangkannya dalam pilihan raya, sudah cukup baik baginya.

Jika ada pertikaian berhubung pemerintahan menurut tuntutan agama, ia boleh diselesaikan kemudian. Buat masa ini sebarang teguran dan ketidakselesaan golongan tertentu tentang kerjasama dengan DAP dijawab secara berlapik bahawa DAP kini semakin “faham” perjuangan PAS dan “menghormatinya”.

Apa yang PAS mahu tonjolkan buat masa ini ialah, ia adalah parti yang inklusif dan tidak akan menafikan sumbangan dan kerjasama daripada mana-mana pihak. Namun dalam soal memartabatkan artis dalam skim kepemimpinan PAS ini, jelas sikap PAS adalah sedikit di luar kebiasaannya.

Kali ini, PAS tidak segan silu mengakui artis adalah penting dalam strategi kempennya.  Sebab itu, ia tidak keberatan untuk mengizinkan artis berceramah di pentas politiknya.

Penghormatan yang diberikan kepada artis adalah luar biasa. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri menerima borang keahlian daripada penyanyi dan pelakon Abby Abadi.  
Paling tersohor dalam kempen PAS sekarang ialah Bob Lokman, seorang pelakon, pengacara dan pelawak. Sebelum itu, PAS agak selesa mempunyai Akil Hayy sebagai penceramahnya. Beliau mampu  menghibur di pentas PAS dengan menyanyi dan menyelitkan beberapa patah ayat al-Quran dan hadis.

Bagi PAS bukan artis sahaja diraikan. Ia kini menghimpun nama bekas pegawai kanan Angkatan Tentera dan perkhidmatan awam. Matlamatnya jelas – PAS mahu memberi gambaran bahawa sedang berlaku gelombang penghijrahan tokoh-tokoh dunia hiburan, pasukan keselamatan dan perkhidmatan awam kepada PAS.

Namun artis tetap artis. Mereka berjiwa seni. Bak hujah kartunis terkenal, Zunar, mereka tidak perlu mempersia-siakan bakat anugerah Ilahi. Mereka harus terus berkarya dan tidak terhenti dengan berceramah di pentas politik sahaja.
 
Jika suatu ketika PAS boleh mengkagumkan rakan dan seteru dengan kekentalan semangat Briged Amalnya menguruskan perhimpunan yang tertib, tidak ada sebab mengapa PAS kini tidak boleh menubuhkan Briged Seninya sendiri.

Memang banyak yang boleh dilakukan oleh briged ini. Ia boleh menjadi pencetus semangat pada penyokong dan pemimpin parti. Namun lebih penting lagi, jika PAS sebuah pergerakan dakwah, ia boleh menggunakan seni dan budaya untuk melebarkan mesej tauhid pada ummah dan bukan terhad pada pengundi sahaja.

Umno dan BN serta PKR memang tidak kekok dengan agenda menggunakan artis untuk menjadi duta perjuangan politiknya. Belum berkuasa penuhpun PKR tidak dapat menyembunyikan kecenderungannya “menghayati” trend hiburan kontemporari dengan persembahan “segala singkat dan ketat ala K-Popnya”.

Yang menjadi persoalan sejauh mana artis akan digunakan oleh PAS untuk menjadi jurubicara perjuangannya? Adakah kecenderungan pada artis ini satu pembaharuan dalam politik PAS, atau, ia sebenarnya adalah manifestasi kewujudan parasit politik yang dimaksudkan oleh bekas Naib Presiden PAS, Datuk Hasan Ali?

Atau, mungkinkah artis kini sudah lebih bijak menggunakan strategi untuk melanjutkan hayat populariti mereka? Mungkinkah apabila mengerling pada hakikat bahawa ramai ahli politik PAS yang makin ketara “kemaruk kuasa” dan “berpolitik hanya untuk menang sahaja” sekarang, artis tidak melepaskan peluang untuk mengisytiharkan pilihan politik mereka.

PAS tidak akan meraikan artis begitu rupa jika ia tidak menguntungkannya. Yang nyata ialah para peminat artis kini dicagarkan untuk meraih undi bagi PAS dan parti politik lain. Ia juga mungkin sebagai jaminan jika iklim politik bertukar, ini mungkin menjanjikan peluang ekonomi yang lebih luas selepas Pilihan Raya Umum ke-13, jika parti yang mereka sokong menang.

Apapun, yang jelas sekarang ialah, sudah tidak banyak beza pendekatan politik PAS dengan partai politik lain di negara ini. Lulus jarum lulus kelindan. Apa sahaja yang boleh menjadi unsur untuk menang, PAS akan gunakan. Yang penting menang.

Zaman PAS berjuang untuk menegur, melentur dan berdakwah beransur lalu. Jika artis boleh membantu, apa salahnya. Benarkah begitu, tok guru?


Ruangan Komen