ISTIMEWA



 Nasional   

Kerajaan diingatkan tidak beri bonus luar kemampuan

pada 26-07-2012 04:07 Ditulis Oleh Farah Eliana Mohd Adnand dan Shawaliah Hadir

Post Pic

 

SHAH ALAM: Kerajaan diingatkan agar tidak membelanjakan peruntukan sewenang-wenangnya sehingga boleh menjejaskan kedudukan ekonomi negara semata-mata mahu memberi ganjaran kepada rakyat.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang ditemui berkata, kebimbangan berterusan mengenai kadar hutang negara yang tinggi perlu dijadikan penanda ukur oleh kerajaan agar lebih berhati-hati dari sudut perbelanjaan.

Beliau bagaimanapun menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi bonus kepada 1.27 juta penjawat awam dan 657 000 pesara kerajaan bersempena sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Tetapi saya kira apapun yang dilakukan oleh PM selaku Menteri Kewangan, istilah punya asas dan tanggungjawab kewangannya itu, cukup penting supaya dihujung-hujung garis penamat Parlimen ke-12 ini, jangan memberikan sesuatu yang akan mengakibatkan kerajaan Pusat terus menanggung hutang," katanya selepas program Diskusi Meja Bulat 'PRU13, Bila Masa Paling Sesuai?' di sini, hari ini.
 
Program Meja Bulat anjuran Antarapos menemukan Exco Pemuda Umno Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan serta Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM), Dr Rosmadi Fauzi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menyatakan kebimbangan sekiranya pemberian bonus kerajaan adalah diluar peruntukan (off budget spending).

Ini katanya akan menambah beban hutang negara yang kini telah meningkat kepada RM436.5 billion atau 53.5 peratus nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak tahun 2002.

Meskipun demikian, Najib sebelum ini berkata, pemberian bonus dan bayaran khas kewangan yang melibatkan RM2.2 bilion itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Dalam pada itu, seorang lagi panel program tersebut, Pensyarah Jabatan Geografi Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Rosmadi Fauzi turut menyambut baik pemberian bonus tersebut.

"Saya lihat ramai yang mengalu-alukan tindakan Perdana Menteri dalam pemberian bonus kepada kakitangan awam kali in.

"Sebagai kakitangan awam saya turut gembira, kerana ini dapat membantu untuk membiayai kos hidup yang kian meningkat ini seiring dengan musim perayaan," ujarnya.

Beliau turut menyifatkan usaha murni kerajaan persekutuan ini bertujuan untuk menghargai kakitangan awam, bukannya strategi untuk memancing undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

"Mungkin juga pemberian ini boleh menjadi faktor kepada peningkatan pengundi kerana kita lihat faktor ekonomi  memainkan peranan penting dalam membuat keputusan."


Ruangan Komen