ISTIMEWA



 Nasional   

Pecat CEO SYABAS, S'gor bincang dengan pemegang saham

pada 26-07-2012 09:07 Ditulis Oleh Farah Eliana Adnand

Post Pic

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan berunding bersama ahli-ahli pemegang saham Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk memecat Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu sementara menanti keputusan Peguam Negara.

Bercakap kepada pemberita, Exco negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata keputusan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan susulan yang akan dilakukan terhadap pengurusan SYABAS dalam usaha penambahbaikan operasi air di negeri ini.

"Kami tiada pilihan. Sekarang kami akan tunggu keputusan daripada Peguam Negara. Kita tunggu dan lihat apa yang dinyatakan dan kami akan tahu apa yang perlu dibuat," katanya pada sidang media program Diskusi Meja Bulat "Isu Air, Realiti atau Politik?' anjuran Antarapos.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berkata tindakan memecat Tan Sri Rozali Ismail dan Datuk Ruslan Hassan akan menjimatkan kos operasi sekurang-kurangnya RM5.1 juta setahun.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas itu, beliau yakin pemegang saham syarikat konsesi tersebut akan menerima tawaran daripada kerajaan negeri dengan mengambil kira kedudukan kewangan yang semakin meruncing.

"SYABAS sekarang menghadapi masalah kewangan. Jadi mereka sedang mencari jalan terbaik untuk meningkatkan kedudukan kewangan mereka."

Sebelum ini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor menolak permohonan yang dibuat kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan SYABAS.

Kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua pihak terbabit gagal mematuhi perjanjian konsesi yang telah dimetrai.


Ruangan Komen