ISTIMEWA



 Nasional   

Tiba masa k'jaan pusat, S'gor duduk berbincang - CASSA

pada 26-07-2012 09:07 Ditulis Oleh Ahmad Fadzly Esa dan Shawaliah Hadir

Post Pic

SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor digesa duduk semeja bagi menyelesaikan isu air yang semakin meruncing di negeri  itu, ujar Pengerusi Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (CASSA) Datuk Jacob George.

Dari sudut perspektif pengguna menurut beliau,  krisis bekalan air tidak mencukupi hanya diperbesarkan oleh media.

"Apa yang paling penting mereka perlu duduk satu meja berbincang, itu mustahak. Saya dukacita kerana isu seperti ini tak dapat diselesaikan, tiada tolak ansur, kita (sepatutnya) sebagai pemimpin rakyat bukan bergaduh dalam media," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diundang menjadi panel khas Meja Bulat Isu Air - Realiti atau Dipolitikan anjuran Antarapos di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar mendakwa kerajaan Persekutuan sehingga kini belum menyuarakan kesediaan untuk berbincang dengan kerajaan negeri.

"Kalau betul kerajaan Persekutuan bersedia untuk duduk berbincang, mengapa sehingga kini tidak ada tindakan?," soalnya.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa bersedia untuk menyelesaikan kemelut terutama melibatkan rakyat.

"Isu ini melibatkan rakyat, rakyat yang akan terbeban. Kerajaan seharusnya mengutamakan rakyat,"

Xavier turut menyifatkan bahawa isu air ini sengaja direka untuk menakut-nakutkan masyarakat di negeri itu.

"Sebenarnya tiada masalah air tetapi hanya rekaan daripada kerajaan Persekutuan," dakwa beliau.

Sementara itu  Timbalan Ketua Pemuda MCA Selangor, Datuk Ching Eu Boon menyangkal sepenuhnya apa yang diutarakan oleh Xavier.

Beliau berkata, sebenarnya kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia untuk mengadakan perbincangan krisis tersebut.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia untuk berunding dengan kerajaan negeri,"katanya.

Jelas beliau jika benar kerajaan negeri mempunyai alternatif lain untuk menyelesaikan, Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim sepatutnya memberi penjelasan kepada semua pihak (kerajaan Persekutuan dan SYABAS).

"Mengapa Menteri Besar sehingga kini tidak memberi penjelasan jika Langat 2 tidak patut diteruskan," katanya.


Ruangan Komen