ISTIMEWA



 Nasional   

PM: BN di landasan betul walaupun tanpa label Islam

pada 27-07-2012 08:07 

Post Pic

 

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perjuangan Umno-Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang betul walaupun perikatan itu tidak menggunakan label Islam.
 
Bagaimanapun beliau berkata, segala program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan BN untuk rakyat adalah berlandaskan 'maqasid syariah'.
 
"Apa yang kita lakukan adalah berpandukan kepada kehendak Islam seperti yang tertera dalam maqasid syariah. Maqasid syariah itulah panduan induk kita," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Kediaman Menteri Besar di sini, malam tadi.
 
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pemimpin parti komponen BN.
 
Terdahulu, Najib dan isteri meluangkan masa mendengar tazkirah sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib. Beliau kemudiannya menunaikan solat sunat Tarawih.
 
Najib berkata, kerajaan BN menunjukkan komitmen yang berterusan dalam menjagakesucian Islam.
 
"Agama kita pegang, keamanan kita pegang. Ini adalah perjuangan kita bersama," katanya.
 
Beliau berkata, Islam tidak menyempitkan agama dan yang menyempitkan agama adalah puak tertentu kerana politik dan tidak meletakkan Islam tertinggi dalam pertimbangan.
 
Perdana Menteri berkata, apabila kepentingan politik melebihi kepentinganIslam, apa sahaja program yang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat sebagai tidak betul.
 
Beliau berkata sebagai contoh, ada pihak yang cuba menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings walaupun tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu untuk kepentingan rakyat.

Ruangan Komen