ISTIMEWA



 Nasional   

Tema Hari Merdeka: Negeri Pakatan juga tak sepakat

pada 07-08-2012 03:08 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

KUALA LUMPUR: Kerapuhan perpaduan Pakatan Rakyat mula terserlah apabila empat negeri yang ditadbir mereka akan menggunakan tema berbeza untuk sambutan Hari Kebangsaan.

Bercakap pada sidang media hari ini, Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, Pulau Pinang dan Selangor akan menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Manakala dua lagi negeri yang diterajui oleh PAS, masing-masing akan menggunakan tema berbeza .

"Tema yang telah diputuskan oleh Kelantan adalah 'Menerajui Perubahan' manakala Kedah 'Terus Berbakti' yang telah berbeza dengan kerajaan persekutuan," katanya.

Alasan Mustafa, exco kedua-dua negeri berkenaan telah memutuskan tema masing-masing sebelum Pakatan membuat keputusan untuk menggunakan tema 'Sebangsa, Sebangsa, Sejiwa'.

"Kelantan dan Kedah menggunakan tema yang berlainan kerana memutuskan awal daripada Pakatan," katanya.

Sementara itu, pihak sekretariat Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri Kelantan telah bersetuju untuk mengambil tema “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” sebagai tema Hari Kebangsaan ke 55 disamping tema Kerajaan Negeri iaitu “Kelantan Menerajui Perubahan”.

Mengulas tentang logo Hari Merdeka, Mustafa berkata, Pakatan Rakyat akan membentangkan logo mereka pada Khamis ini manakala lagu tema masih dalam proses yang sedang digubah oleh seorang "komposer terkenal".

Mustafa berkata Pakatan menerima cadangan lebih 20 logo daripada anggota masyarakat sejak minggu lalu.

Pakatan menentang tema "Janji Ditepati" yang dianjurkan kerajaan persekutuan kerana mendakwa ia digunakan dalan kempen BN yang dilancarkan beberapa bulan lalu.

Pada sidang akhbar yang sama, beliau juga membidas filem bertajuk 'Tanda Putra' yang bakal ditayangkan pada 13 September ini. Katanya, berdasarkan pemerhatian daripada trailer filem itu menunjukkan bahawa Tanda Putera boleh "membakar api perkauman".

"Kita minta (tonton) sebab kita dapat gambaran sedikit apa yg akan ditayang, dan rasa kandungan filem ini tak gambarkan usaha yang benar-benar menyatukan rakyat di seluruh negara.

"Walau bagaimanapun, (Pakatan) minta pihak kerajaan tayang filem ini pada pembangkang supaya beri pandangan kita tentang filem ini. Pandangan menyeluruh boleh diberi bila dapat tengok seluruh," katanya.

Sehubungan itu, beliau  menggesa kerajaan agar berbincang dan menerima pandangan Pakatan sebelum menyiarkan filem tersebut.

Filem terbitan Pesona Pictures itu menonjolkan hubungan antara perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan menteri dalam negeri pada waktu itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, selepas rusuhan 13 Mei 1969.

Tayangan filem yang biayai sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia itu pada awalnya dijadualkan pada 13 September  tetapi dilaporkan ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Finas mendakwa langkah itu bagi memberi masa untuk lebih banyak usaha promosi, namun pemerhati mengaitkan tindakan berkenaan sebagai kepentingan politik sehingga filem arahan Shuhaimi Baba itu menjadi mangsa.

 


Ruangan Komen