ISTIMEWA



 Nasional   

Hospital swasta tiada kepentingan peribadi, kata Othman

pada 07-08-2012 06:08 Ditulis Oleh Wartawan AntaraPos

Post Pic


SHAH ALAM: Kerajaan Lim Guan Eng hari ini tampil menjelaskan keputusan membina hospital swasta di Jalan Zainal Abidin hanya tertumpu kepada aspek untuk mengembangkan industri pelancongan perubatan negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata dakwaan bahawa Ketua Menteri termasuk Exco-exco Kerajaan Negeri mempertahankan keputusan untuk membina hospital berkenaan sebagai mempunyai kepentingan peribadi adalah tidak benar.

Katanya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang membuat tuduhan itu seolah-olah "bertindak macam budak-budak yang baling batu sembunyi tangan".

"Fitnah sebegini adalah satu perbuatan jahat, tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral kerana pemimpin PR tidak ada kepentingan peribadi dalam hospital tersebut dan meluluskannya semata-mata mahu mengembangkan industri pelancongan perubatan di Pulau Pinang," memetik kenyataan media.

Chang Yeow dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa kerajaan Guan Eng meluluskan lesen pembinaan hospital swasta dengan menolak tepi cadangan projek perumahan rakyat termiskin di tapak berkenaan.

Katanya, Guan Eng lebih mementingkan keuntungan berbanding membantu rakyat miskin di Pulau Pinang untuk memiliki rumah mampu milik.

Menjawab tuduhan itu Mansor berkata Chang Yeow cuba mengelirukan rakyat dengan maklumat-maklumat palsu.

"(Mereka mendakwa) Kerajaan BN memperuntukkan tapak Jalan Zainal Abidin seluas 0.4 hektar untuk perumahan padahal tidak ada suatu pengumuman dalam suratkhabar oleh kerajaan BN sebelum ini.

"Sebaliknya kerajaan PR memperuntukkan tanah lebih luas sebanyak 4.2 hektar di Jalan S.P. Chelliah iaitu hampir 10 kali ganda lebih besar untuk perumahan mampu milik."

Mansor kemudian mempersoalkan sikap membisu Chang Yeow berhubung skandal keuntungan besar dua pemimpin tertinggi Umno Pulau Pinang berjumlah RM5 juta hasil penjualan 10 ekar tanah milik 31 individu berbangsa Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau.

"Biasanya komisen tanah broker adalah 2 peratus tetapi telah jadi 57 peratus dalam kes ini. Keuntungan RM5 juta dalam 3 bulan setengah mempertikaikan kesungguhan BN membela rakyat bila pemimpin UMNO lebih berminat untung besar atas jadi broker penjualan tanah orang kampung Melayu," katanya lagi.


Ruangan Komen