ISTIMEWA



 Nasional   

Selangor tubuh JK percepat ambil alih aset air

pada 09-08-2012 07:08 

Post Pic

 

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk cuba memuktamadkan urusan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri ini sebelum akhir September depan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keempat-empat pemegang konsesi air di Selangor akan dipanggil untuk menyelesaikan pengambilalihan syarikat konsesi berdasarkan harga pasaran yang munasabah.

"Bagi mempercepatkan proses tersebut, kerajaan negeri turut menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan pengambilalihan tersebut selewat-lewatnya pada September 2012.

"Pemegang konsesi tersebut boleh merujuk kepada timbangtara bebas sekiranya tidak berpuas hati dengan nilai yang ditawarkan. Kerajaan negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara tersebut,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Khalid berkata Selangor menyambut baik keputusan kerajaan pusat yang bersetuju memberi hak untuk kerajaan negeri melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air.

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air Selangor, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, memutuskan untuk memberi hak kepada kerajaan negeri melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu.

Menurut Khalid, kerajaan negeri sudah lama bersedia untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Selain itu, kerajaan negeri juga akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan pemajakan aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air dapat diselesaikan serentak, tambahnya.


Ruangan Komen