ISTIMEWA



 Nasional   

Abim: Tema 'Janji Ditepati', silap kecil tapi niat baik

pada 10-08-2012 10:08 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

SHAH ALAM: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berpendapat kerajaan membuat kesilapan kecil dalam memilih 'Janji Ditepati' sebagai tema Hari Kemerdekaan Ke-55 pada tahun ini, meskipun tindakan itu berniat baik.

Menurut Naib Presiden (Antarabangsa) Abim, Jufitri Joha, bagi pihak yang tidak menyelami maksud kepentingan janji yang perlu ditunaikan itu akan menganggap pemilihan tema berkenaan berunsur politik.

"Sedikit kesilapan yang dilakukan adalah memilih tema yang kontreversi walaupun berniat baik.

"Tema harus tidak mengundang fitnah, walaupun berniat baik tetapi kerajaan juga harus mengelak daripada pihak yang tidak berpuas hati dan berlainan pendapat," katanya, ketika ditemui Antarapos di sini.

Beliau  menjadi tetamu Diskusi Meja Bulat yang membincangkan topik 'Memartabatkan Islam di negara berbilang kaum'.

Menurut Jufitri lagi, tema sepatutnya dirasai dan dihayati oleh semua rakyat khususnya dan  tidak akan menimbulkan fitnah oleh segelintir pihak yang tidak sependapat dengan kerajaan persekutuan.

Sementara itu,  Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki pula, cuba berdolak-dalih berhubung kegagalan negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk menggunakan tema yang seragam.

"Kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat ini kecuali di beberapa buah negeri seperti di Selangor mengambil keputusan  tema yang berbeza dengan kerajaan persekutuan.

"Kedah dan Kelantan telah  melancarkan tema ini sejak Julai," katanya.

Sebelum ini, hanya Selangor yang dilaporkan akan menggunakan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Kelantan memilih tema 'Kelantan Menerajui Perubahan' manakala Kedah pula akan menggunakan  '55 Tahun Merdeka Terus Berbakti'  sebagai temanya.

Pulau Pinang pula semalam, mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju akan menggunakan tema 'Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat'.

Dr Zuhdi mendakwa, tema Janji Ditepati tidak dipilih kerana rata-rata  rakyat membantah tema dan lagu yang digunakan kerana dilihat  memihak kepada BN.

"Bukan setakat parti politik, rakyat juga turut menolak tema ini.

"Rakyat yang menggunakan media baru menolak tema 'Janji Ditepati," tegasnya.

Katanya lagi, yang turut menjadi isu besar apabila yang menolak tema ini adalah generasi muda yang majoritinya menggunakan media alternatif sebagai sumber berita terkini.


Ruangan Komen