ISTIMEWA



 Nasional   

KDEB didakwa keluar arahan kurangkan air terawat

pada 10-08-2012 02:08 

Post Pic

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoalkan tindakan pengurusan atasan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) yang didakwa menggeluarkan arahan kepada Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) untuk mengurangkan pengeluaran air terawat di negeri itu.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mendakwa arahan itu dibuat melalui sepucuk surat pada 2011 oleh pengurusan atasan KDEB mengarahkan pengeluaran air terawat dikurangkan dari 145 juta gelen sehari kepada hanya 120 juta gelen sehari.

"Apa niat mereka mengeluarkan arahan sebegitu, adakah bertujuan untuk mensabotaj sesiapa termasuk rakyat Selangor. Malah saya juga hairan siapakah yang menggarahkan perkara ini dilakukan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau mendakwa tindakan itu menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong memandangkan ABASS mengendalikan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Mohd Zin turut mempersoalkan tindakan seorang Exco kerajaan negeri Selangor yang mengadakan bantahan berhubung isu air di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Kajang baru-baru ini.

"Mengapa perlu buat bantahan, sedangkan arahan mengurangkan air terawat di kawasan terbabit datang dari KDEB iaitu syarikat milik kerajaan Selangor.

"Sebagai Exco kerajaan negeri sepatutnya mencari penyelesaian isu air bukan melakukan demonstrasi semata-mata untuk kepentingan politik," katanya.

Mohd Zin mendakwa pihaknya turut mendapat maklumat bahawa kerajaan negeri pimpinan PKR-DAP-PAS itu terpaksa membuat pinjaman sehingga RM300 juta setahun dengan kadar faedah sebanyak RM8 juta bagi tujuan memberikan air percuma ini.

Beliau mempersoalkan adakah ini satu langkah pentadbiran yang bijak apabila kerajaan Selangor terpaksa berhutang dengan pihak bank untuk memberikan air percuma dan bagaimanakah pelan kerajaan negeri untuk melangsaikan hutang-hutang berkenaan.

"Saya mempunyai semua dokumen dan bukti dari sumber sahih berhubung semua pendedahan yang dibuat ini, saya cabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjawab semua perkara ini," katanya.


Ruangan Komen