ISTIMEWA



 Komentar   

Bila Pakatan Rakyat kemaruk debat dan demonstrasi

pada 01-08-2012 04:08 Ditulis Oleh Sharifudin Jamil

Post Pic

ULASAN Sejak terukir sejarah debat terbuka di antara Ketua Pemuda Umno dengan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa bulan lalu, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menunjukkan selera amat besar pada strategi debat untuk mengetengahkan idea dan menyerang pemimpin dan parti kerajaan. 
 
Mereka akan memilih sekecil-kecil isu untuk mencabar pihak BN untuk berdebat. Ini adalah lanjutan daripada manifestasi strategi fizikal yang memang mereka gemar gunakan iaitu demonstrasi. 
 
Mengapa mereka bersikap demikian mudah difahami. Pakatan adalah entiti politik baru di Malaysia. Ia perlu mempromosikan produk politik mereka pada rakyat. Oleh itu cara terbaik mengiklankan kewujudan mereka ialah dengan cuba menarik perhatian rakyat menggunakan apa jua cara.
 
Melalui demonstrasi mereka akan lebih cepat mencuri perhatian umum. Satu, mereka boleh menunjukkan kewujudan, kegagahan dan keyakinan perjuangan. Dua, mereka akan mengundang reaksi daripada pihak keselamatan seperti polis dan akhirnya kerajaan.
 
Apapun reaksinya mereka akan berhujah bahawa kebenaran di sebelah mereka. Jika reaksi polis keras dan kasar, kerajaan boleh dituduh menggunakan pasukan keselamatan itu untuk membenam prinsip dan butir perjuangan mereka. Jika tiada reaksi pula mereka akan mendakwa pendirian dan perjuangan mereka benar sebab itu kerajaan dan polis tidak berani menongkah arus kebenaran.
 
Begitu juga dengan berdebat. Jika cabaran mereka disahut oleh kerajaan ia akan membuka peluang untuk mereka mendapat publisiti. Ini juga akan membuka ruang kepada mereka untuk mempamerkan kehebatan mereka berhujah dan berpidato. 
 
Sebagai pembangkang mereka ada beberapa kelebihan. Dari segi hujah, jika sekalipun fakta yang mereka ketengahkan tidak tepat, ia boleh difahami kerana mereka tiada akses kepada maklumat rasmi dan rahsia kerajaan. Sebaliknya hakikat ini akan membebankan pihak kerajaan. 
 
Namun paling penting ialah, oleh kerana kebanyakan pemimpin Pakatan Rakyat terlalu lama menjadi pembangkang, pentas-pentas ceramah adalah platform latihan paling baik untuk mereka mengasah bakat berpidato. Ini berbeza pemimpin kerajaan yang banyak dan lama  terbeban dengan masalah bekerja mentadbir Negara dan kurang bercakap. 
 
Jika berdebat sudah pasti mereka yang saban hari berceramah ke seluruh pelosok negara akan lebih petah untuk menyergah pemimpin kerajaan yang sering tergagap apabila bercakap di khalayak ramai, apatah lagi jika di hadapan kamera televisyen.
 
PR tidak kira isu. Apa sahaja boleh didebatkan dan apa sahaja boleh mendorong mereka untuk keluar bedremonstrasi di jalanan. Yang penting kewujudan mereka diketahui dan peluang untuk meresapi emosi rakyat lebih mudah terbuka. 
 
Budaya ini ada buruk dan baiknya. Bila difikir masak-masak, debat dan demonstrasi memang satu wahana berkesan untuk memenuhi kehendak kebebasan bersuara. Namun jika budaya ini bertukar menjadi kemaruk untuk publisiti dan kuasa, ia juga ada padahnya. 
 
Ambil contoh kes tema hari kebangsaan 2012. Kerajaan umumkan tema “Janji Ditepati”. Namun Pakatan Rakyat dengan rasminya menjadikannya modal untuk berdebat dan berbalah. 
 
Hujah mereka tema itu sama dengan slogan kerajaan hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini sibuk menjelajah ke seluruh negara untuk menerangkan mengenai program transformasinya. 
 
Baik dari segi cara pemerintahan hingga ke ruang aktiviti politik dan perundangan, Najib cuba meyakinkan rakyat bahawa kerajaannya bukan hanya menyambung tradisi pemerintahan lama. Kerajaan Najib memilih amalan baik untuk diteruskan, menambahbaik prosedur yang lemah dan mengutarakan nilai baru untuk membina kekuatan bangsa Malaysia yang bersatu
 
Seiring ini, nilai luhur turun temurun dan selaras tuntutan agama juga cuba dicambahkan. Maka pada musim Hari Kemerdekaan tahun ini, nilai yang dipilih untuk disebatikan dalam jiwa rakyat Malaysia ialah soal “janji”. 
 
Janji adalah kontrak insan sesama insan dan individu dengan masyarakat, pemerintah dan akhirnya ikatan setiap diri dengan Khaliqnya. Janji adalah manifestasi nilai diri seseorang. Maka apa salahnya nilai ini dipupuk dan dizahirkan dalam slogan Janji Ditepati? Mengapa ia harus jadi persoalan dan bahan perdebatan?. 
 
Mengapakah Pakatan Rakyat terlalu gusar dengan penerapan nilai ini? Bukankah sebagai entiti politik Pakatan Rakyat juga banyak menabur janji? Apakah lantaran terasa ada janjinya yang masih banyak belum ditunaikan maka harus disorokkan hakikat nilai ini daripada menjadi darah daging rakyat Malaysia? 
 
Masih banyak isu dan cara untuk berpolitik. Hindarkanlah perbalahan remeh. Atau cuba meremehkan nilai dan budaya hidup yang luhur seperti soal “janji” dan kewajipan menunaikannya. 
 
Adalah dibimbangi jika masa dan tenaga dibazirkan dalam polemik sebegini, jika ditakdirkan Pakatan Rakyat memerintah kelak, ia akan membuang lebih banyak masa untuk melayan rakyat dengan debat dan demonstrasi. 
 
 

Ruangan Komen